Menjelang Ramadan terakhir tempoh hari, drama TV3 yang trending setiap hari di Twitter dan YouTube setiap jam 7.00 malam iaitu ‘Bukan Gadis Biasa’ menemui penamatnya.

Kematian Opah Aminah sebenarnya turut menghuraikan dengan jelas isu harta pusaka yang rencam dan kerap melanda masyarakat di negara ini. Kes perebutan harta, salah faham dan urusan wasiat sememangnya sering menjadi pertikaian utama di Mahkamah.

IKLAN

Nona terpanggil berkongsi tulisan peguam syarie Shazril Khairy Mustafa (klik sini) tentang kesahihan wasiat Tok Ali seperti yang diceritakan dalam drama tersebut. Peminat drama ‘Bukan Gadis Biasa’ wajib baca ni.

Wasiat Tok Ali dalam drama ‘Bukan Gadis Biasa’ sah ka tidak?

Dalam isu ini sewajarnya ahli waris mengikut faraid kepada Tok Ali hanyalah:

1. Opah (Isteri)
2. Muzaffar (anak Lelaki)
3. Sufian (Anak Lelaki)

Bagi menentukan wasiat tersebut sah atau tidak, bergantung kepada kepada tiga orang di atas sama ada setuju atau tidak. Sekiranya semua ahli waris setuju maka wasiat tersebut berkuatkuasa. Sekiranya tidak, wasiat tersebut akan terbatal.

Wasiat adalah satu amanat atau penyerahan hak milikan selepas kematian. Dari segi hukum Islam hanya mengiktiraf wasiat kepada bukan ahli waris sahaja kecuali ahli waris setuju.

Wasiat juga sebenarnya adalah ikrar atau pengakuan seseorang untuk menyempurnakan pengagihan harta selepas kematian kepada bukan waris dan ahli waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka.

Pada permulaan Islam, berwasiat adalah suatu kewajipan untuk ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat berdasarkan Firman Allah SWT yang bermaksud:

Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 180)

Kemudian, kewajipan berwasiat telah dimansuhkan hukumnya apabila turunnya ayat mawarith dalam surah Al-Nisa, iaitu yang menerangkan hak-hak dan pembahagian pusaka melalui hukum faraid contohnya melalui ayat yang bermaksud:

Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan. (Surah Al-Nisa’: 7)

Dari segi kedudukan wasiat, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. (Surah Al-Nisa’: 11)

Manakala hadis daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, tidak sepatutnya tidur selama dua malam, melainkan dalam keadaan wasiat telah siap ditulis di sisinya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Melalui hadis di atas, jelas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan wasiat dibuat bila mana telah terlintas di hati untuk membuat sesuatu wasiat.

Dalam siri-siri akhir drama ini jelas kenapa wasiat dibuat. Antaranya sebab:

1. Rayyan anak kepada Muzaffar dan cucu Tok Ali.
2. Amer anak tidak sah taraf nasab pada ibunya sahaja.
3. Amirul anak angkat kepada Sufian.

Cara pembahagian yang diberi Tok Ali:

1. Aset dan syarikat diberi kepada Rayyan.
2. Resort di Langkawi diberi kepada Amer.
3. Resort di Port Dickson diberi kepada Amirul.

Kenapa wasiat Tok Ali dibuat? Antara pandangan saya bahawa Tok Ali tahu kedua individu iaitu Amer dan Amirul tiada bahagian dalam harta peninggalannya.

Pemberian Tok Ali ini kepada 3 cucunya ibarat 1/3 bahagian setiap orang akan dapat.

Kenapa Aishah anak Sufian tidak dapat? Kemungkinan Tok Ali tidak tahu Sufian akan ada anak kandung. Selepas ujian DNA dilakukan, diketahui Sufian bapa kandung kepada Aishah yang dipelihara Jo.

Peringkat awal drama ini amat menekankan tentang wasiat Tok Ali. Daripada wasiat Tok Ali inilah timbul keributan keluarga antara Amer, Rayyan dan Amirul. Inilah lumrah kehidupan sepanjang saya mengendalikan kes-kes melibatkan harta pusaka.

Pada masa ini juga timbul status anak sama ada anak tidak sah taraf, anak angkat dan anak kandung. Islam amat menekankan susur galur dan nasab anak.

Siri-siri terakhir drama ini menjelaskan secara tersirat kenapa wasiat ini dibuat dan penuh berhikmah. Kekuatan ahli waris sebenar iaitu Opah, Muzaffar dan Sufian mempertahankan wasiat tersebut.

Kredit dan pujian seharusnya diberikan kepada penulis skrip dan pengarah drama ini kerana telah mengangkat instrumen wasiat untuk difahami dan diamalkan sebagai salah satu sistem pusaka Islam selain hibah, wakaf dan faraid.