Menikmati percutian bersama kenalan rapat memang mengujakan. Lebih-lebih lagi apabila dapat meluangkan masa di samping rakan ‘sekepala’ ke luar negara. Rasa tenang dan bebas daripada segala tekanan.

Namun, apa yang berlaku kepada Nur Amirah Mohd Anuar hampir lima tahun lalu adalah di luar jangkaan. Dalam keghairahan untuk melihat keindahan Pulau Phuket, dia dilanda insiden buruk yang pasti meninggalkan memori pahit sepanjang hidupnya.

IKLAN

Bertandang ke pulau peranginan popular Thailand tersebut sekitar tahun 2012, banyak petanda awal yang berlaku kepada dirinya seolah-olah memberi petunjuk kepada Amirah agar tidak meneruskan percutian di sana.

Tambahan pula ketika itu, Thailand baru saja digegarkan dengan kehadiran ombak tsunami yang melanda Phuket.

“Pada mulanya timbul juga hasrat untuk membatalkan percutian ke sana. Tetapi, kerana tiket penerbangan sudah dibeli awal dengan harga yang murah dan sudah lama menantikan percutian tersebut bersama kawan-kawan akhirnya saya nekad untuk ke sana. Ibu dan bapa saya memang tidak tahu-menahu tentang rancangan saya untuk ke Phuket.

Segalanya dibuat sorok-sorok. Lagipun, saya tidak tinggal sebumbung dengan keluarga waktu itu kerana bekerja di Seremban. Jadi mudahlah kalau hendak bercuti tanpa pengetahuan mereka. Biasalah, masih muda. Tak fikir panjang kalau jadi apa-apa. Yang saya fikir, cuma nak bercuti bersama teman-teman.”

Bukan berita tsunami itu sahaja yang menggetarkan keputusannya untuk ke Phuket, sebaliknya timbul beberapa perkara lain yang turut menimpa Amirah bersama 3 lagi sahabatnya pada hari mereka berangkat ke Phuket.

Disebabkan terlalu asyik makan dan berlengah-lengah untuk ‘check in’, mereka dihalang memasuki pesawat dan terlepas penerbangan awal pagi tersebut. Akibatnya dia dan rakan-rakan terpaksa membeli tiket penerbangan baru.

4 hari berada di bumi Gajah Putih dimanfaatkan sepenuhnya untuk bersuka ria dan menenangkan minda. Hari pertama hingga hari keempat segalanya berjalan lancar sehinggalah beberapa jam sebelum pulang ke tanah air, Amirah ditimpa kemalangan.

“Seingat saya kejadian itu berlaku pada pukul 1 petang. Mula-mula semuanya ok. Then things happened masa saya nak belok simpang untuk naik ke pangsapuri tempat kami menginap.

Waktu itu saya rasa seperti hendak terjatuh sebab terpaksa tunggang motor dengan perlahan kerana keadaan sekeliling. Mungkin sebab gementar, saya terpulas kuat pedal minyak sampai out of control dan terus masuk longkang.

Masa jatuh tu sebenarnya saya tak rasa apa-apa lagi. Masih dalam keadaan terkejut dan kabur. Nasib baik kawan-kawan saya ada berhampiran. Merekalah yang tolong angkatkan motor tersebut dan nampak darah mengalir di kaki saya yang berlubang tercucuk besi.

IKLAN

I don’t dare to see! 30 minit tunggu kereta untuk ke hospital rasa macam terlalu lama.

Dalam perjalanan ke hospital macam-macam yang saya fikir. Paling saya ingat macam mana nak berhadapan dengan kedua-dua ibu bapa. Pada masa sama, saya juga tidak berhenti berdoa agar kaki saya tak patah atau retak sebab tak mahu warded.”

Dia kemudiannya dibawa ke bilik imbasan untuk melihat sejauh mana kecederaan yang dialami. “Saya menanggung kesakitan yang amat sangat waktu kaki saya dicuci dan dibius sebelum dijahit. Mungkin inilah balasan yang Tuhan hendak tunjuk dekat saya kerana ingkar dan tidak dapat restu ibu bapa.

IKLAN

Semasa berada di bilik kecemasan, saya nampak bermacam ragam pesakit yang kemalangan dalam keadaan ngeri dengan muka yang berlumuran darah. Terdengar jeritan sakit dan raungan mereka. Cukup menakutkan dan saya sendiri tidak mampu nak tengok.”

Dalam keadaan kaki yang masih sakit dan berjalan terhincut-hincut selepas menerima 5 jahitan, Amirah dan rakan-rakannya bergegas ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia. Walaupun belum cukup sihat untuk berjalan jauh, namun yang terdetik di benak Amirah kala itu adalah untuk segera sampai ke tanah air dengan selamat.

Untuk mengelakkan kemalangan yang menimpa Amirah dihidu keluarga, isteri kepada Ahmad Basyiruddin Hussin ini mengambil keputusan untuk tinggal di rumah sewanya di Seremban selama beberapa hari. Lucunya, walaupun luka di kaki belum pulih sepenuhnya namun Amirah sanggup berkelakuan seperti tiada apa yang berlaku apabila berada di depan keluarga.

Naluri seorang ibu sememangnya kuat. Berita kemalangan Amirah sewaktu bercuti ke Phuket akhirnya sampai jua ke pengetahuan keluarga terutama ibunya yang sedar akan kesan jahitan di kaki anak sulung dari 6 beradik ini.

“Tiap kali melihat kesan jahitan di kaki saya ini pasti saya akan mengenang Phuket dan apa yang telah saya lakukan terhadap orang tua saya. Sememangnya kemalangan ini memberi petunjuk agar tidak membelakangkan mereka walau dalam apa cara sekalipun.

Saya tidak pernah serik dengan apa yang berlaku sebab segalanya sudah ditetapkan oleh-Nya. Apa yang berlaku saya ambil sebagai pedoman agar tidak mengulangi kesilapan sama.” Suziana Abu Daud