Pada dasarnya takdir Allah selalu baik. Walaupun terkadang perlu air mata untuk menerimanya…

Lembut kata-kata Pengasas Birdnest Beauty Solution, Norshahila Ahmad yang menghiasi kulit depan Majalah Nona isu Mei-Jun 2021 ini.

IKLAN

Secantik Puteri Melayu, ajnas busana tradisional menjadi interpretasi seni di Rumah Tangsi, sekaligus menyerlahkan kejelitaan Shahila dalam nostalgia klasik.

Berasal dari Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu, wanita berusia 38 tahun ini memiliki satu kekuatan luar biasa yang menukar seluruh jalan cerita hidupnya. Azam untuk mengubah takdir serta motivasi untuk berbahagi rezeki dengan orang lain terbukti menjadikan Shahila salah seorang anak peneroka Felda paling berjaya di Malaysia.

Shahila ditampilkan sebagai penghias kulit Majalah Nona edisi Mei-Jun 2021

 

Shahila yang manis, tiba ditemani dua kakak kesayangannya. Kak Long dan Kak Chik mesra menjadi teman bicara saya sambil kami menanti usahawan hebat itu bersiap.

Daripada mereka, saya mula percaya bahawa Shahila benar-benar seorang wanita luar biasa. Periang, tapi kalau tiba-tiba keluarga meminta pertolongan, pasti berdesup dia datang menawar nyawa.

“Sha (panggilan manja Shahila) ni anak tengah. Kami enam beradik memang rapat dan ‘sekepala’ kalau berkumpul…” jujur pengakuan Kak Long atau Afzarina Ahmad, 44.

“Kak Chik pula sebelum ni cuma suri rumah yang berniaga frozen food. Tapi berkat berniaga dengan Birdnest Beauty Solution, sekarang dah jadi Master Leader di Perak,” celah kakak kedua – Norlianti Ahmad, 41, dalam nada teruja.

Perbualan kami sesekali disampuk Sha dari jauh, dan bila ada cerita yang melucukan, kami ketawa berdekah-dekah sehingga mengalir air mata.

Afzarina (atas), Norshahila dan Norlianti (kanan)

 

Tiga beradik ini sering berkongsi perasaan dan bertukar pendapat

 

JIWA USAHAWAN

Berkat doa, usaha dan tawakal Shahila, kini jualan BBS amat memberangsangkan dengan purata RM10 juta setahun. Produk best selling iaitu sabun Birdnest Propolis Collagen Soap antara yang mendapat permintaan tinggi di pasaran, selain serum, sunscreen dan set penjagaan wajah terbaharu.

“Melalui BBS juga, kami sediakan platform agar ramai yang terjejas pendapatan jadi sebahagian keluarga besar BBS dengan modal serendah RM40 saja,” terang wanita lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri, UNISEL itu serta mempunyai lebih dari 7,000 ejen.

Rahsia kejayaan Shahila menjadi topik perbualan kami yang seterusnya. Siapa sangka dia sebelum ini pernah menjual burger di tepi jalan, berniaga di Uptown pasar malam, jual borong di GM Wholesale dan jual produk-produk orang sebelum mengambil keputusan mengusahakan BBS.

Busana: Heintje

 

IKLAN
Busana: Heintje

 

Sambil menghela nafas panjang, Shahila terpanggil menceritakan dugaan yang pernah dilalui.

“Ketika baru bermula, cabaran yang paling menyedihkan adalah apabila keluarga sendiri tidak menyokong keputusan Sha untuk berniaga. Sha ada sarjana dan mereka tak mahu Sha susah payah membina perniagaan.

Kemudian apabila produk BBS mula viral, Sha berdepan pula dengan cabaran produk fake di pasaran. Itu belum campur lagi keadaan dimana anak-anak team BBS dicuri apabila mereka berjaya. Macam-macam lagi sebenarnya,” katanya sambil tersenyum.

Sebagai usahawan produk, Shahila sendiri tidak dapat lari daripada kecaman. Terpaksa berdepan pula mentaliti masyarakat yang beranggapan semua produk tempatan adalah sama atau tidak berkualiti tinggi. Persepsi tersebut ternyata salah.

“Sebenarnya selari dengan tagline BBS iaitu ‘Harga Murah, Bahan Mewah’ sudah menjawab dakwaan itu dengan baik. Impian Sha adalah untuk melihat lebih ramai pengguna mampu merawat kulit mereka dengan bahan mewah tapi pada harga yang sangat-sangat berpatutan.

IKLAN

Setiap produk Sha akan pakai atau cuba dahulu selama beberapa bulan selepas proses R&D dilakukan. Kami juga buat sampling sebelum sesuatu produk baharu dilancarkan,” dedah Shahila tanpa berselindung.

Busana: Heintje

 

LUASKAN EMPAYAR

Menjadikan usahawan Ali Baba iaitu Jack Ma dan pengasas kedai Speedmart 99 sebagai idola, Shahila terus bertapak maju membawa BBS ke tingkat yang baru.

“Pengasas kedai Speedmart 99 tidak dikenali dan OKU, namun kedai tersebut berada di merata tempat serta menawarkan harga jualan yang murah berbanding kedai lain. Itulah yang menjadi prinsip saya hari ini – Berniaga dengan beretika. Tunaikan apa yang dijanjikan.”

Mengakhiri sesi penggambaran kami, sempat saya bertanya tentang misi Shahila sebagai businesswoman. “Produk BBS akan berada di seluruh negeri dan dikembangkan ke negara-negara luar sedikit waktu lagi. Alhamdulilah sekarang pun produk BBS sudah boleh didapati di Brunei, Singapura dan insyaAllah di lebih banyak negara.

Sha juga nak berterima kasih pada anak-anak team BBS. Mereka adalah keluarga kedua Sha, sumber inspirasi dan semestinya menjadi impian Sha untuk melihat mereka semua berjaya,” akhiri penerima Nona Best Birdnest Skin Benefit Award dalam Nona Superwoman Award 2020 yang lalu.

Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Konsep & Arahan Seni: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Saidatulnisa Aminuddin
Busana: Heintje

 

BACA ARTIKEL PENUH TENTANG ASPIRASI KEJAYAAN DAN KISAH JATUH BANGUN NORSHAHILA AHMAD DALAM MAJALAH NONA EDISI MEI-JUN 2021, DI PASARAN TIDAK LAMA LAGI.