Hidangan asam pedas sememangnya amat popular di kalangan masyarakat Malaysia. Jika menyebut sahaja menu asam pedas, pasti kecur air liur membayangkan kuhnya yang pekat, rasanya yang pedas tetapi lengkap dengan rasa masam yang seimbang. Ditambah pula penggunaan bunga kantan dan daun kesum, aroma hidangan ini menjadi semakin enak apatah lagi untuk sajian tatkala berbuka puasa.

IKLAN

Bagi Datin Sri Zuraila Yassin atau lebih mesra disapa Datin Sri Ilyka, menu asam pedas sememangnya menjadi kegemaran keluarganya apatah lagi ketika di bulan Ramadan.

“Asam pedas merupakan antara menu yang sering saya sediakan untuk keluarga. Tetapi saya akan mempelbagaikan jenis asam pedas antaranya termasuklah asam pedas menggunakan ayam. Antara ikan yang menjadi pilihan untuk asam pedas termasuklah ikan merah dan ikan pari.

Selain menu asam pedas, saya juga gemar memasak sambal udang, rendang daging atau ayam, masak lemak cili api ketam bersama nanas dan sebagainya. Pendek kata, saya gemar memasak sendiri hidangan untuk keluarga,” ujar Datin Sri Ilyka mesra.

Resipi Asam Pedas Ayam Datin Sri Ilyka:

1 ekor ayam |dibersihkan

3 cawan cili kering|dikisar

7 ulas bawang merah kecil

5 ulas bawang putih

1/2 inci kunyit

Sedikit lada hitam

1/2 inci halia

Sedikit asam jawa

2 kuntum bunga kantan

Sedikit daun kesum

 

View this post on Instagram

 

#majalahnona #metimenona #airtanganvip

A post shared by ilyka (@_ilyka_) on

 CARA MEMBUAT:

1.Bersihkan ayam terlebih dahulu dan asingkan. Sementara itu, rebus cili dan toskan airnya.Kemudian kisar sehingga ia menjadi lumat. Kisarkan juga bahan-bahan tumisan seperti halia, kunyit, bawang putih dan bawang merah.Campurkan ke dalam bahan-bahan kisar.

2.Panaskan minyak. Kemudian masukkan bahan-bahan tumisan dan tumis sehingga pecah minyak. Tambahkan sedikit minyak sekiranya tidak mencukupi.

3. Pastikan lada yang digoreng di atas dapur sentiasa di kacau agar ia tidak hangit dan melekat di permukaan kuali.Tambahkan sedikit garam  secukup rasa. Kemudian masukkan air asam jawa.

4.Masukkan bunga kantan diikuti daun kesum.

5.Masukkan ayam ke dalam periuk.Gaulkan sehingga sebati. Biarkan air dari ayam tersebut keluar dan mesra di dalam kuali.

6.Tambahkan sedikit lagi air asam jawa.Tutup dan biarkan sehingga ayam menjadi empuk.

Berkongsi tips bagaimana menyediakan hidangan asam pedas yang sedap, menurtu wanita kelahiran Johor ini, tidak susah untuk menyediakan hidangan asam pedas sekiranya teknik memasak hidangan tersebut dilakukan dengan betul.

“Tidak susah memasak asam pedas ni.Apa yang penting, pastikan lada yang digoreng hendaklah sentiasa di kacau agar ia tidak hangus dan berkerak di dasar kuali. Kemudian barulah dimasukkan garam untuk proses memasaknya lengkap.

Selain itu,masukkan ayam. Pastikan selepas memasukkan ayam, tutup periuk seketika agar stok dari ayam tersebut dapat dihasilkan kerana ia adalah elemen utama menghasilkan kuah terhadap asam pedas ayam ini. Jika tidak cukup kuah, tambahkan air. Perasakan garam dan gula secukup rasa dan pastikan asam pedas mempunyai rasa pedas dan masam yang seimbang.”

Menyentuh mengenai persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, Datin Sri Ilyka bakal meraikan Aidilfitri di kediamannya terlebih dahulu di Shah Alam sebelum berkunjung ke kediaman ibu mentua yang terletak di Ampang, Selangor.

Kebetulan rumah ibunya di Puncak Alam, jadi tidak menjadi masalah untuk dirinya pulang berhari raya bersama keluarga tetapi perlu mengekalkan penjarakan sosial demi memastikan kesihatan orang tua dan kanak-kanak di dalam keluarganya berada pada tahap terbaik.

“Tahun ini pastinya suasana Aidilfitri amat berbeza jika dibandingkan dengan Aidilfitri tahun-tahun sebelumnya. Sebolehnya elakkan ahli keluarga kita dari dijangkiti COVID-19. Jadi, budaya kunjung-mengunjung, bersalam-salaman di Aidilfitri perlulah dielakkan bagi memastikan wabak ini dapat dicegah. Saya ingin mengambil kesempatan untuk  mengucapkan Salam Aidilfitri dan Stay Safe untuk semua rakyat Malaysia, ” ujar Datin Sri Ilyka seraya mengakhiri perbualan.