Dalam kesibukan memulakan hidup norma baharu, ramai yang kadang-kadang cuai atau lupa untuk mengenakan pelitup muka dengan alasan keadaan sudah kembali selamat.

IKLAN

Sebenarnya, pemakaian pelitup muka bukanlah untuk melindungi diri kita daripada ancaman COVID-19 semata-mata tetapi beberapa penyakit berjangkit lain yang terbebas di udara. Salah satu penyakit yang paling dikhuatiri merebak adalah tibi atau batuk kering yang boleh membawa maut.

Suatu ketika dahulu, tibi pernah menggemparkan negara kerana menjadi pembunuh utama kepada penduduk Malaysia. Ia disebabkan oleh kuman Mycobacterium bacillus yang ditemui oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882 di Jerman, berwarna merah, halus dan hanya boleh dilihat menggunakan mikroskop.

Kuman tibi yang menyerang pernafasan, bukan santau!

Dianggarkan 90 peratus daripada kuman tibi biasanya menyerang paru-paru (tibi pulmonari). Walau bagaimanapun, melalui peredaran darah, ia juga boleh merosakkan bahagian tubuh badan manusia yang lain seperti sistem saraf tunjang (meningitis), sistem limfa, sistem peredaran (tibi miliari), kelenjar leher, tulang, otak dan sebagainya.

CARA MEREBAK

Apabila pesakit tibi pulmonari aktif batuk, bersin atau bercakap, mereka akan mengeluarkan beribu-ribu kuman tibi daripada paru-paru atau kerongkong yang bertebaran di udara dalam bentuk titisan halus.

Individu yang menyedut udara tercemar yang terapung-apung itu seterusnya akan berisiko dijangkiti. Mereka yang berhubung rapat seperti ahli keluarga dan rakan sekerja pesakit tibi lazimnya paling berisiko untuk menghidapinya.

GEJALA

  • Batuk berkahak melebihi dua minggu.
  • Kahak berdarah.
  • Sakit di bahagian dada.
  • Berpeluh pada waktu petang atau malam.
  • Mengalami sakit dada khususnya apabila batuk atau menghela nafas panjang.
  • Hilang selera makan.
  • Susut berat badan.
  • Mudah letih dan lemah badan.

PENCEGAHAN

  1. Bayi-bayi yang baru lahir mestilah diberikan suntikan imunisasi BCG.
  2. Dapatkan suntikan dos kedua sekiranya tiada bekas parut dan pada umur 12 tahun.
  3. BCG diberikan percuma di semua hospital serta klinik kesihatan kerajaan untuk mereka yang berumur 20 tahun ke bawah.
  4. Sekiranya batuk berterusan lebih daripada dua minggu, segeralah berjumpa doktor untuk menguji kahak anda.
  5. Ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan pesakit tibi dalam tempoh yang lama hendaklah tampil menjalani pemeriksaan.
  6. Pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam.

Terdapat beberapa golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan tibi. Kelazimannya, mereka yang mendampingi pesakit tibi paling berisiko untuk mengalaminya.

Ia juga mudah menyerang penduduk miskin yang tinggal di desa mahupun di bandar-bandar, pembawa HIV, mereka yang menghidap sakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau buah pinggang, pesakit yang mengambil ubat steroid dalam tempoh yang lama serta warga tua.

Selain itu, penyakit tibi juga kian sukar dibendung dengan kemasukan ramai pendatang asing secara haram yang tidak disaring daripada penyakit ini.

DIAGNOSIS

Jika mengalami batuk berpanjangan, anda hendaklah melakukan pemeriksaan sapuan kahak di bawah mikroskop bagi mengesan kehadiran kuman tibi. Ujian kahak boleh dilakukan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan berhampiran secara percuma.

Pemeriksaan sinaran X dada juga boleh menunjukkan kerosakan yang mungkin berlaku pada paru-paru anda.

RAWATAN

  1. Rawatan biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan walaupun pesakit berasa sihat dalam tempoh berkenaan. Pada dua bulan pertama, rawatan harian akan diberikan, biasanya mengandungi sebanyak empat jenis ubat makan yang disaksikan oleh pengamal perubatan atau orang lain yang dilantik sebagai penyelia.
  2. Peringkat rawatan seterusnya dilakukan dua kali seminggu selama empat bulan, biasanya melibatkan tiga jenis ubat, juga diambil di bawah penyeliaan. Jika rawatan ini diikuti secara tetap, pesakit berkenaan boleh disembuhkan.