Kadar obesiti atau berlebihan berat badan kini semakin meningkat. Seseorang yang mengalami obesiti mudah untuk diserang masalah kesihatan seperti diabetes, penyakit jantung dan strok.

IKLAN

Pun begitu, ini tidak bermakna orang yang kurus tidak mempunyai risiko diserang penyakit. Kekurangan berat badan juga tidak bagus untuk kesihatan. Berikut beberapa masalah kesihatan yang boleh menyerang mereka yang terlalu kurus.

OSTEOPOROSIS DAN TULANG RAPUH

Bagi yang terlalu kurus, lemak sangat diperlukan. Salah satu fungsi lemak ialah menghasilkan estrogen. Baik lelaki mahupun wanita, estrogen bermanfaat untuk kesihatan tulang. Tanpa estrogen tulang mudah menjadi rapuh dan rosak.

MASALAH REPRODUKSI

Kekurangan berat badan boleh menyebabkan beberapa masalah reproduksi bagi wanita. Wanita yang terlalu kurus kitaran haidnya sering menjadi tidak teratur malah kemungkinan boleh terhenti. Keadaan ini boleh menjadi masalah untuk kehamilan kelak bermula dari sukar hamil sehinggalah ketika mempertahankan kehamilan. Kitaran haid yang tidak teratur sebelumnya mempengaruhi lapisan rahim.  Kajian menunjukkan wanita yang kekurangan berat badan berisiko kira-kira 72 peratus untuk mengalami keguguran di trimester pertama.

ANEMIA

IKLAN

Seseorang yang terlalu kurus sangat mudah mengalami anemia. Badan kurang mengeluarkan sel darah merah kerana kurangnya penyerapan zat yang tepat seperti zat besi dan vitamin B12. Maka, seseorang yang kekurangan berat badan perlu memenuhi keperluan zat tersebut agar tidak mengalami anemia. Gejalanya seperti letih, tidak bertenaga, degupan jantung tidak teratur, sesak nafas dan pening.

DAYA TAHAN TUBUH BERKURANG

IKLAN

Sistem kekebalan badan benteng utama bagi memastikan sel-sel asing berbahaya tidak masuk ke dalam badan. Sistem ini memerlukan bahan bakar yang diperoleh daripada serapan makanan. Maka seseorang yang terlalu kurus mudah diserang selesema atau demam semasa perubahan cuaca kerana sistem kekebalan badannya berkurangan.

DIABETES DAN PENYAKIT JANTUNG

Siapa kata diabetes dan penyakit jantung hanya menyerang mereka yang memiliki berat badan berlebihan? Seseorang yang terlalu kurus juga mudah diserang penyakit ini kerana daya tahan badan berkurangan. Faktor keturunan juga boleh mempengaruhi. Mungkin seseorang yang berkurangan berat badan mempunyai lemak yang tidak terlihat tersimpan di sekitar jantung. Ini lebih berbahaya kerana sangat berisiko diserang diabetes dan penyakit jantung. AMY MOHD