Kejelitaan Datin Maria Arshad yang masih terserlah.

Bila sebut saja nama Datin Maria Arshad pasti ramai yang teruja untuk mengetahui kisah peribadinya.

IKLAN

Tidak lagi aktif dalam dunia lakonan serta jarang muncul di kaca televisyen mahupun media cetak, aktres terkenal era 80an ini lebih selesa menjalani rutin kehidupannya sebagai isteri, ibu dan nenek.

Melihat kepada penampilan terkini Datin Maria Arshad atau nama sebenarnya Kamariah Arshad, susuk tubuhnya yang ramping serta raut wajahnya yang masih kekal jelita tidak menunjukkan bahawa kini usianya telah pun mencecah 62 tahun. Seperti tak percaya!

Memang selayaknya Datin Maria Arshad digelar ‘super gorgeous grandma’ kerana nampak lebih muda berbanding usia sebenar. Pelakon filem ‘Langit Tak Selalu Cerah’ ini rupanya seorang yang sangat menitikberatkan soal penjagaan kesihatan dan kecantikan.

Bagi Datin Maria Arshad biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti akan berlaku. Apa yang penting ialah seorang wanita itu haruslah bijak untuk menjaga diri sendiri agar kekal sihat dan bertenaga walau berapa pun usianya.

Sebab itulah Datin Maria Arshad setia dengan cara semula jadi berbanding melakukan rawatan-rawatan moden yang ada di pasaran ketika ini. Beliau melalui proses penuaan dengan rasa syukur, tenang dan bahagia. Secara tak langsung akan terserlahlah pesona awet muda.

SUMBER INSPIRASI MENANTU
Datin Maria Arshad bukan hanya menjadi inspirasi wanita-wanita di luar sana bahkan menantunya, Sharifah Shahirah atau Shiera turut menjadikannya sebagai sumber inspirasi. Shiera, 46, yang kini semakin manis bertudung aktif sebagai penyampai radio serta pengacara. Shiera merupakan isteri kepada Ijoy Azhari dan ibu anak lima.

Hubungan Shiera dan Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya yang dipanggil Mama.

“Ibu mertua saya seorang yang mengutamakan keluarga. Selalunya Mama akan lebihkan anak menantu dan cucu. Mama memang rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan caranya itu dalam mendidik anak-anak.

Kami menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya sentiasa memuliakan ibu mertua sama seperti ibu sendiri.

Antara air tangan Mama kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu.

Kalau berbual memang kami tak pernah bercakap tentang kecantikan sebaliknya lebih kepada hal-hal anak cucu. Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan jelita sampai sekarang.

Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Setiap orang ada cara masing-masing.”

Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired