Betul ke pil perancang boleh menyebabkan kegemukan? Itu antara kebimbangan ramai pasangan suami isteri terutamanya di kalangan wanita apabila berniat untuk merancang keluarga. Disebabkan mudah terpengaruh dengan kata-kata kenalan yang ‘kononnya’ pernah mengalaminya, anda terus mengelak mengambil alternatif tersebut tanpa meminta nasihat daripada pakar.

IKLAN

Sebelum terus hanyut dengan andaian tersebut, baca penjelasan Dr Muhammad Izzat yang merupakan Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi mengenai hal ini.

==================================================================================================================================================================

Pil perancang keluarga atau kehamilan telah berada di pasaran lebih 50 tahun dan merupakan salah satu kaedah perancang kehamilan yang paling senang didapati, murah, dan mudah. Dengan cara penggunaan yang betul dan tepat, 99% keberkesanan boleh dicapai. Perlu diingatkan di sini, bahawa TIADA kaedah yang 100% mencegah kehamilan selain tidak melakukan hubungan kelamin atau melakukan pembedahan membuang rahim, 99% keberkesanan boleh dikira sebagai peratusan terbaik untuk perancangan keluarga.

Maka, dari mana datangnya pendapat mengatakan bahawa pil perancang kehamilan ini menggemukkan? Ini lebih kepada datuk nenek moyang yang turun-temurun berkisahkan pengalaman orang terdahulu. Bukannya dibuktikan secara saintifik.

Gaya hidup yang kurang sihat, serta permakanan seperti nasi lemak nasi tambah, roti canai, teh tarik lebih manis kaw, milo dinosaur kaw, kari kambing dan seumpama dengannya adalah penyumbang utama kepada pertambahan berat badan dan masalah-masalah kesihatan lain, tiba-tiba pula pil perancang kehamilan yang mendapat nama buruk dan dituduh menambah berat badan wanita! Macam mana tu?

Walaupun yang demikian, saya boleh faham mengapa timbulnya andaian tersebut. Salah satu hormon dalam penyediaan pil pencegah kehamilan iaitu hormon progesteron boleh menyebabkan perut menjadi kembung yang mana disalah anggap sebagai bertambahnya berat badan.

IKLAN

Namun begitu, simptom-simptom ini amat berbeza daripada individu kepada individu, bergantung pada tindak balas badan kepada jenis-jenis hormon progestron tertentu yang boleh membawa kepada kesan-kesan tersebut. justeru itu, tidak semua wanita mempunyai kesan yang sama.

Ada pendapat sebelum ini menyatakan kandungan hormon estrogen dalam pil pencegah kehamilan dituduh menjadi penyebab berat badan bertambah. Pendapat ini tidak tepat sama sekali kerana hormon ini sebenarnya menggalakkan metabolisme dan membakar lemak secara cepat. Akan tetapi, penggunaan hormon estrogen dalam pil perancang kehamilan dalam generasi baru dikurangkan untuk mengurangkan risiko kesan sampingan seperti pembekuan darah dan strok. Saya rumuskan di sini hormon estrogen sebenarnya TIDAK menyebabkan kegemukan.

IKLAN

Anda tidak perlu gusar mengenai peningkatan berat badan sekiranya mengambil pil pencegah kehamilan. Anda perlu mengubah gaya hidup, bertukar kepada permakanan sihat daripada menyalahkan pil perancang kehamilan yang menyebabkan kegemukan semata-mata.

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Obstetrik & Ginekologi
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Semoga dengan perkongsian ini membuatkan para wanita lebih peka terhadap kesihatan diri. Lebih-lebih lagi tentang hasrat anda dan suami untuk merancang keluarga.

Sumber: Facebook Muhammad Izzat