MILA JIRIN

Mila Jirin sememangnya lambang wanita inspirasi masa kini. Mana tidaknya, dengan status sebagai seorang isteri dan ibu… dia juga berjaya membuktikan kemampuan diri
sebagai seorang usahawan. Bukan hanya bergelar usahawan dalam satu bidang sahaja malah Mila turut memonopoli pelbagai cabang bisnes. Antaranya sebagai perunding perkahwinan, makanan dan pelancongan. Hebat!

Tidak lagi aktif dalam kerjaya seni nyanyian Mila bagaimanapun dilihat makin ligat merencana masa depan sebagai ahli perniagaan. Sambil mengakui pernah mengalami kejatuhan ketika awal pembabitan suatu masa dulu, pengalaman berdepan cabaran pandemik Covid-19 telah banyak menjadikan isteri Ahmad Ailis Mohamed Mustapha ini lebih matang mengemudi bahtera sebagai usahawan.

IKLAN

Selepas empayar Bizmilla terjejas kerana wabak tersebut, Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin enggan putus asa dan nekad mencari alternatif baharu. Segalanya dilakukan demi kelangsungan hidup dan kebajikan staf tersayang.

Salah satu cabang bisnes baru yang dilakukan Mila ialah perusahaan Bizmilla Cakes & Pastry. Aneka hidangan kek seperti brownies, kek keju dan kek pandan ditawarkan dengan harga berpatutan. Kongsi Mila, “Di Bizmilla kami memang ada unit pastri, unit ini menyediakan semua jenis manisan dan pastri untuk bufet majlis perkahwinan di Dewan Bizmilla, team pastry dan beberapa warga kerja di bahagian pengurusan dengan penuh semangat berjuang bersama-sama syarikat dan mencetuskan idea untuk menghasilkan kek-kek yang super sedap untuk sebarang ulang tahun mahupun apa jua majlis sambutan di rumah.

Saya maklumkan pada pekerja saya, situasi sekarang, saya tak harapkan keuntungan tetapi saya mohon pada Allah, dapatlah usaha-usaha ini membantu serba sedikit, terutama kos pengurusan (gaji pekerja) yang hampir RM200,000 sebulan. Kerana saya faham, semua ada keluarga, saya tak nak pekerja-pekerja saya hilang punca pendapatan, kita buatlah apa sahaja yang termampu dan rezeki yang halal demi kelangsungan syarikat dan dapat mereka bersama-sama mendapat pendapatan.”

Terbaharu, sempena kedatangan Aidiladha Mila turut mengadakan Program Aqiqah Bizmilla Travel yang dilaksanakan di Tanah Suci Mekah. Tidak cukup dengan itu, khabarnya Mila turut sedang merancang untuk membuka satu lagi cawangan Bizmilla di Pulau Pinang. Yang pasti ibu kepada seorang cahaya mata ini tidak pernah lelah mencari peluang perniagaan. Semuanya kerana ‘suntikan’ semangat daripada suami tercinta yang dahulunya menjadi pengurus peribadi Mila sebagai penyanyi.

Menceritakan pengalaman 12 tahun lepas, Mila tanpa segan membuka kisah peribadi kepada peminat demi mencorak inspirasi khususnya kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan. “Insan ini telah membuka mata dan minda saya 12 tahun lepas. Waktu terkapai-kapai dalam menguruskan kerjaya dalam bidang seni yang samar-samar, insan ini hadir memberi bantuan tanpa mengharap 1 sen dari saya. Yes he is my manager in my music career since 2008 until 2014 (Alhamdulillah now he is my JANNAH).

Waktu tu saya langsung tak ada apa-apa plan yang kukuh. Main buat je apa yang saya nak buat. Tanpa perancangan yang rapi. Insan ini cuba tarik saya untuk jadi usahawan dari 2008, tapi saya tak bagi perhatian sebab darah muda. Masih belum 100% fikir tentang masa depan… sehingga? “YOU NAK MENYANYI SAMPAI TUA?? KALAU U DAH KAWIN DAN ADA ANAK, U MASIH NAK JADI MACAM NI, BEKEJAR SANA SINI, SETIAP HUJUNG BULAN SEMUA HABIS TAK SEMPAT SIMPAN? APA AKAN JADI DENGAN PARENT & FAMILY U JIKA U GAGAL?”

Di samping suami tercinta

Minda saya diketuk dengan satu kata-kata yang sangat tajam sehingga ia membuka hati saya untuk belajar dunia perniagaan. Insan ini banyak bagi input berguna buat saya, walau pada awal awalnya saya ego dengan diri sendiri dan tak nak dengar cakap dan ia telah menyebabkan perniagaan pertama saya kecundang!

Kita sebagai manusia perlu ada 1 “KETUKKAN MINDA” untuk break cara pemikiran kita agar kita ambil tindakan untuk berubah ke arah kejayaan. Tak ada short cut untuk berjaya tetapi wajib lalui semua proses. Tak rugi tetapi itulah UNIVERSITY anda untuk explore and challenge your capability,” ujar bekas juara Akademi Fantasia musim kelima ini.

Moga usaha keras yang ditonjolkan Mila menjadi pencetus semangat dan memberi manfaat kepada masyarakat kelak! Juga, semoga apa yang diimpikan superwoman ini dimakbulkan Allah dan dipermudahkan.