Hinakah apabila seorang wanita berkahwin dan bercerai lebih daripada lima kali? Mereka dituduh tidak pandai menjaga suami, wanita yang tidak ada kualiti dan tidak sesuai dijadikan calon isteri. Lalu mereka disisih…

Inilah nasib yang terpaksa saya lalui. Ketika usia mencecah ke angka 50, saya terpaksa menerima hakikat, menjadi janda buat kali ke lapan. Dalam usia begini, saya tidak pernah mengharapkan perceraian. Saya mengaku, bukan saja malu pada masyarakat, bahkan juga pada anak-anak. Namun apakan daya, saya tidak mampu menolak ketentuan Ilahi… Pengakuan Maria!

IKLAN

Kahwin paksa

Saya mula berkahwin sebaik selesai menduduki peperiksaan SPM, kerana dipaksa oleh nenek. Walau pun tidak rela, tetapi saya tidak mampu menolaknya. Sejak kecil, saya dipelihara oleh nenek. Dan nenek merupakan seorang yang garang dan tegas.

Tapi saya sangat bersyukur, kerana mendapat suami yang sangat memahami. Saya memang belum bersedia untuk perkahwinan ini. Setelah berterus terang pada suami, dia bersetuju menceraikan saya. Keesokkan paginya, selepas bersarapan pagi, sahlah saya bergelar ‘janda berhias’.

Namun perceraian itu benar-benar telah menimbulkan kemarahan nenek. Akibatnya saya telah dihalau. Tetapi syukurlah, tanpa pengetahuan sesiapa, bekas suami telah menghantar saya ke rumah Cikgu Asmah (seorang kenalannya).

Cikgu Asmahlah yang banyak membantu, berusaha mendapatkan dokumen diri serta menguruskan kemasukkan saya ke tingkatan enam. Dan tanpa pengetahuan sesiapa, abah juga sering mengunjungi saya serta menghulurkan duit belanja.

Tragedi sedih berulang kembali. Kepulangan saya ke rumah nenek sebaik selesai peperiksaan STP telah disambut dengan meriah. Rupa-rupanya sekali lagi nenek mengatur jodoh saya. Alasan nenek, tidak elok menjanda lama-lama.

Walau pun tidak rela, tetapi saya berusaha untuk menjadi seorang isteri yang baik. Apa lagi, suami saya seorang ustaz, baik dan bertanggung jawab. Banyak mengajar saya tentang tanggung jawab seorang isteri dan juga tentang agama. Dia juga tidak menghalang hasrat saya untuk meneruskan pengajian di universiti. Malah dialah yang banyak membantu menguruskan kemasukkan saya ke universiti.

Tapi malangnya tinggal berjauhan telah dijadikan alasan untuk dia berkahwin lagi. Sudah pasti saya menentang keputusannya itu kerana sedari awal dia begitu menggalakkan saya untuk terus belajar. Kerana penentangan itu, saya telah diceraikan.

Ternyata nenek tidak jemu-jemu mengatur jodoh untuk saya. Jodoh ketiga, keempat dan kelima juga diatur oleh nenek. Nyata, nenek sememangnya memainkan peranan yang besar dalam hidup saya. Saya akur dengan perintah nenek kerana nenek lebih berkuasa dalam memenuhi ruang kehidupan saya.

Suami ke tiga meninggal dunia akibat sakit tua sementara suami keempat meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Tetapi diperkahwinan yang kelima, saya yang menuntut cerai kerana suami bukan hanya menagih dadah, tetapi juga kerana sikapnya yang terlalu panas baran, cemburu serta malas bekerja. Dan diperkahwinan ini saya mempunyai seorang anak.

Berhijrah

Selepas kegagalan perkahwinan yang kelima ini, kehidupan saya mula tersingkir. Keluarga seperti tidak lagi menyenangi kehadiran saya. Saya dianggap sebagai anak yang tidak berguna. Saya terus menjadi buah mulut orang sekeliling. Pelbagai tuduhan yang tidak elok dilemparkan kepada saya. Dan yang cukup menyedihkan, ramai sahabat perempuan yang mula memandang serung kepada saya. Saya tahu mereka takut saya menggoda suami mereka. Di mana saja, saya mula menjadi seperti kera sumbang.

Akhirnya saya mengambil keputusan berhijrah ke Malaysia Timur. Selama dua bulan kehidupan kami dua beranak memang agak menyedihkan. Kerana tidak mempunyai kenalan. Tetapi nasib baik, rakan-rakan di tempat kerja banyak membantu.

Empat tahun kemudian, saya menerima lamaran daripada lelaki yang telah saya anggap sebagai bapa angkat. Kebetulan isterinya meninggal akibat barah usus. Sudah nasib saya, jodoh pilihan sendiri ini juga tidak panjang. Suami saya meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu dalam perjalanan menjemput saya pulang dari pejabat. Waktu itu saya sedang mengandung tujuh bulan.

Akibat tekanan perasaan, saya melahirkan anak tidak cukup bulan. Inilah yang dikatakan, setiap musibah pasti ada hikmahnya. Anak-anak tiri saya tetap menerima saya seperti ibu mereka. Merekalah yang banyak membantu saya.

Enam bulan selepas itu, mereka mengatur jodoh saya dengan seorang saudara mereka. Terlalu berat hati ini untuk berkahwin lagi setelah enam kali mengalami kegagalan. Tetapi mereka begitu beriya-iya, dan begitu juga dengan pihak lelaki. Akhirnya saya hanya mengikut saja cadangan mereka. Pun jodoh ini tidak mampu bertahan lama. Saya diceraikan lantaran dia telah bertemu dengan wanita lain yang lebih mudah, cantik dan berharta.

Selepas perceraian itu, hidup saya mula kucar-kacir. Anak-anak tiri mula menjauhkan diri. Begitu juga dengan kawan-kawan terutama di pejabat serta jiran tetangga. Dengan penolakan itu, akhirnya saya sedar, di sini bukan tempat saya. Saya hanya menumpang di tempat orang. Saya kemudian meminta tukar kembali ke semenanjung bersama anak-anak.

Tujuh tahun hidup dirantauan, mungkin orang sudah lupa tentang sejarah silam saya. Tambahan pula nenek sudah meninggal sementara ayah yang telah bersara, kini menetap di kampung halamannya di utara. Buat sementara saya tinggal di rumah nenek yang kosong.

Inilah yang dikatakan, jodoh saya terlalu mudah. Dua tahun kembali ke kampung halaman dan dalam usia mencecah ke angka 40, saya dipertemukan jodoh lagi. Kali ini dengan ‘orang besar’ syarikat. Sebenarnya puas saya menolak, kerana saya tidak mahu dituduh sebagai perampas suami orang. Saya tidak mahu melukakan hati orang. Tetapi ternyata jodoh saya dengan dia sangat kuat.

Selepas berkahwin, suami berhenti kerja dan membuka perniagaan sendiri. Sementara saya terus bekerja. Walau pun dia tidak mampu menjadi suami yang adil (dikawal oleh isteri tua) tetapi kehidupan kami sangat bahagia. Dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap saya dan anak-anak. Kami kemudian dikurniakan dua orang anak. Dan anak-anak tiri juga sering datang ke rumah saya.

Perkara yang saya takuti, akhirnya berlaku juga. Jodoh kali ini hanya mampu bertahan selama 11 tahun. Selepas suami dapat gelaran Dato’, saya dan isteri tuanya (kami sempat memegang status Datin selama dua tahun) telah diceraikan lantaran ingin bernikah dengan wanita lebih muda. Walau pun berkahwin dan bercerai bukan asing dalam hidup saya, namun saya tetap sedih.

Saya berharap sangat agar tiada lagi berlaku perceraian dalam hidup saya. Tetapi rasa sedih itu cepat surut kerana simpati terhadap bekas madu. Dia menjadi seperti orang ‘hilang akal’ kerana sama sekali tidak pernah menduga perkara ini akan menimpa dirinya. Tambahan, dia juga tidak bekerja. Dalam situasi begini, saya terpaksa memikul tanggungjawab menjaganya serta anak-anak tiri.

Saya sedar, masyarakat terus memandang serung pada saya. Maklumlah, dalam usia meniti senja, orang lain sibuk menjaga keharmonian rumah tangga, sebaliknya saya sibuk membilang suami. Nak buat macamana, beginilah ketentuanNya.

Saya tidak berhasrat untuk berbangga atau meraih simpati. Tujuan saya memaparkan kisah yang dianggap oleh sesetengah orang sebagai amat mengaibkan ini hanyalah untuk meluahkan segala isi hati yang terpendam sejak sekian lama. Cukuplah segala umpat keji yang dilemparkan kepada saya selama ini.

Sesungguhnya, setiap wanita yang berkahwin pasti ingin agar jodoh mereka berkekalan hingga ke akhir hayat. Tidak ada yang inginkan perceraian dan memegang gelaran janda. Bahkan walau pun perceraian itu dihalalkan, tetapi ianya dibenci Allah. Lalu, berdosakah saya apabila sentiasa berdoa agar tidak lagi dipertemukan jodoh lagi? Bukan saya ingin menolak takdir Allah, tetapi saya tidak sanggup menghadapi perceraian dan umpat keji lagi. Sesungguhnya saya juga ingin menjadi sebahagiaan daripada mereka (masyarakat di sekeliling).