Kata orang, kalau dah sayang semua kuturutkan. Masa bercinta semuanya indah, sempadan negara pun sanggup kuredah. Tapi banyak wanita lupa, kahwin itu bukan soal bahagia semata. Ia soal tanggungjawab dan amanah.

Mana tanggungjawabnya kalau urusan pendaftaran kahwin dibuat main? Inilah persoalan yang dibangkitkan oleh peguam syarie Amirul Akmal menerusi ciapan beliau di Twitter.

IKLAN

Terpanggil untuk memberikan kesedaran terhadap akibat tidak mendaftarkan perkahwinan, beliau telah menerangkan hak-hak yang tidak layak dituntut dalam perkahwinan begini.

“Wanita-wanita di luar sana. Berhati-hati dan beringatlah sebelum nasi jadi bubur. Malaysia negara yang ada undang-undang. Hal nikah kahwin ni bukan hal nikah kahwin pondok-pondok tapi ada kesan jangka panjang yang berlaku jika nikah luar negara dan tak daftarkan nikah dalam Malaysia.

Kalau nak nikah Siam atau mana-mana ke, pastikan balik Malaysia anda daftarkan pernikahan anda mengikut prosedur dan tatacara yg ditetapkan oleh setiap negeri.

Undang-undang yang ada bukan nak susahkan anda, tetapi sebenarnya untuk jaga hak anda semua juga di masa hadapan.

Kalau nikah di Siam atau luar negara dan tidak didaftarkan di Malaysia, pernikahan tersebut dikira TIDAK ADA dan TIDAK WUJUD.

Apa jadi kalau nikah tu tak dikira wujud di dalam undang-undang? Ketahuilah kaum wanita, anda tak layak sama sekali untuk menuntut hak-hak di bawah ini:

1) Anda tak boleh tuntut cerai sebab nikah tu tak sah ikut undang-undang. Jadi anda kena sahkan nikah dulu.

2) Anda tak boleh tuntut hak harta sepencarian.

3) Anda tak boleh tuntut hak penjagaan anak.

4) Anda tak boleh tuntut tunggakan nafkah.

5) Anda tak boleh tuntut nafkah iddah.

IKLAN

6) Anda tak boleh tuntut hutang perkahwinan jika ada.

7) Kalau suami meninggal, anda TIADA HAK LANGSUNG nak minta bahagian faraid.

8) Kalau suami lafaz cerai luar mahkamah, anda tiada hak nak sahkan lafaz tu dan ditinggalkan GANTUNG TAK BERTALI.

 

Kalau ada anak, apa kesannya pada anak?

IKLAN

1) Anak tak layak dapat bahagian faraid jika suami meninggal.

2) Anak tak layak pakai nama ayah dalam sijil lahir.

3) Anak tak layak tuntut hak nafkah anak.

 

Jadi berhati-hatilah, jangan jadi mangsa lelaki yang hanya nak puaskan kehendak nafsu sahaja. Kalau nak nikah Siam sekali pun, pastikan nikah dengan orang yang bertauliah dan balik ke sini untuk sahkan. Biar susah dahulu senang kemudian. Jangan sampai macam kes ini.

Dah nikah suami tak daftar, suami lafaz cerai luar macam cerai pondok-pondok, kemudian rampas anak yang masih kecil dan hilang hak untuk berjumpa. Jangan memperjudikan hak anda jika anda sayang dengan diri sndiri dan anak-anak.

Kepada para lelaki kalau nak nikah takda duit, boleh nikah kecil-kecilan dan bincang elok-elok, insyaAllah akan ada penyelesaian. Janganlah jadi lelaki yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Sumber: Amirul Akmal (klik sini)