Belum reda krisis ekonomi dan Coronavirus, rakyat Lubnan terus dirundung pilu dengan tragedi letupan yang menghancurkan sebahagian besar bandar Beirut.

Letupan membabitkan 2,750 tan ammonia nitrat pada Selasa, 4 Ogos 2020 itu mengorbankan lebih 130 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 5,000 orang.

IKLAN

Industri fesyen antara yang terpukul teruk dengan peristiwa tersebut. Ibu negara Lubnan yang menjadi alamat rumah fesyen terkemuka seperti Elie Saab, Zuhair Murad dan Rabih Kayrouz dilaporkan terjejas teruk.

Zuhair Murad

Dalam hantaran couturier antarabangsa, Zuhair Murad, 49 tahun, melalui Instagram, beliau berkongsi gambar-gambar bangunan ibu pejabatnya di Gemmayzeh yang musnah akibat letupan tersebut.

“We lost everything. All my memories. I built this building stone by stone, day by day, night by night. It was my dream to build my fashion house in Beirut, in my city, in Lebanon where I was born but in one second everything went and I lost everything.”

Zuhair Murad merupakan antara pereka fesyen atau couturier terkemuka pilihan selebriti ternama Hollywood. Antaranya Jennifer Lopez, Adele, Marion Cotillard, Taylor Swift, Ivana Trump, Beyonce, Shakira, Katy Perry, Vanessa Williams dan ramai lagi.

Kemasyhuran jenama itu bukan saja megah di pentas peragaan fesyen, malah sering menjadi pilihan utama di pelbagai acara karpet merah atau malam anugerah berprestij di luar negara.

Kejadian ini turut mendapat simpati Jennifer Lopez apabila beliau turut meninggalkan mesej agar Zuhair Murad cekal berdepan hal tersebut.

Selain itu, ramai selebriti, golongan hartawan dan kerabat diraja Arab yang menyanjungi karya artisan jejaka itu dilihat memberi kata-kata semangat agar Zuhair kembali bangkit dari kejatuhan.

Dikatakan seramai 200 orang pekerja Zuhair Murad sempat meninggalkan bangunan setinggi 11 tingkat itu kira-kira 10 minit sebelum letupan berlaku.

Selain baju-baju pelanggan merangkumi haute couture, ready-to-wear dan gaun pengantin yang musnah, segala dokumentasi dan arkib miliknya selama 20 tahun juga hancur begitu saja.

“Saya menangis seperti kanak-kanak.Tiada perkataan dapat menggambarkan kesedihan kami sekarang,” ujar Zuhair Murad yang jelas cukup terkesan dengan tragedi letupan itu.

Kejadian tersebut berlaku ketika industri fesyen Lubnan sedang diambang inflasi, selain pandemik Coronavirus menjejaskan permintaan produk fesyen mereka sama ada dari dalam dan luar negara. Tiada jualan mahupun keuntungan dicatatkan.