RAJA PETRINA SUZIANA

Orangnya cantik dan sangat berbudi bahasa. Setiap tutur kata yang terpacul dari bibir kerabat diraja Perak dan Selangor ini disusun dengan penuh berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak. Mula mengenali personaliti anggun ini sejak tahun 2017, Raja Petrina Suziana nyata seorang wanita yang mudah mesra. Melihat keperibadian dirinya jelas menunjukkan betapa dia mendapat didikan terbaik daripada kedua-dua ibu bapa.

Meskipun ‘berdarah’ bangsawan namun ia bukan penghalang bagi Raja Petrina untuk mendekati pelbagai lapisan masyarakat. Akuinya, gelaran kerabat diraja yang dimiliki sedikit pun tidak menjejaskan batas pergaulan dengan orang lain kerana sejak kecil lagi dia dan tiga beradik dididik oleh ayahanda dan bonda supaya tidak membeza-bezakan pangkat atau darjat seseorang. Tidak hairanlah, Raja Petrina disenangi ramai!

IKLAN

Malah ketika diaju pertanyaan sama ada dia pernah rasa sukar kerana berketurunan kerabat, jelitawan berusia 36 tahun ini lantas melontar bicara. “Bagi saya tidak sukar. Saya cuma ikut nasihat dari bonda dan ayahanda. Jaga adab dan pertuturan, hormati sesama kita dan paling penting ‘just be myself’. Jangan bersikap pura-pura, be real.”

Mengulas mengenai susur galur keluarga, Raja Petrina atau nama penuhnya Raja Petrina Suziana binti YM Dr Raja Putra Shah menjelaskan, “Saya berketurunan kerabat Perak dan Selangor. Bonda saya ialah Yang Mulia (YM) Tengku Soraya Yusuf binti Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Mohammad Yusof Shah. Datuk saya pula ialah YAM Tengku Aris Temenggong Selangor Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Sulaiman Shah Al-Haj. Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dengan saya berpangkat ‘saudara’.

Manakala ayahanda saya pula ialah YM Dr Raja Putra Shah bin YM Raja Haji Shahar Shah keturunan kerabat Perak iaitu Sultan Idris Perak yang pertama. Datuk saya YM Raja Haji Shahar Shah bin YM Raja Harun Al-Rashid Ibni DYMM Sultan Idris (1). Moyang sebelah bapa ialah ‘Raja Kecik Sulong’, YM Raja Harun Al-Rashid iaitu anak kepada Sultan Idris (1).”

Raja Petrina di samping bonda & ayahanda

Biarpun mempunyai pertalian diraja yang kuat namun Raja Petrina dan keluarga selesa menjalani kehidupan sederhana sama seperti insan lain. Dia enggan terlalu mengejar kepada kemewahan sebaliknya memiliki hubungan baik dengan semua orang dan bahagia menikmati hidup di samping keluarga adalah keutamaan bagi Raja Petrina.

Bahkan wanita cantik ini juga tanpa ragu-ragu memilih lelaki daripada orang kebanyakan sebagai suami. Perkahwinan Raja Petrina dengan suami tercinta, Mohamad Hazril Mohamad Hadzim diulit kebahagiaan hingga ke hari ini dan mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga. Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Putera Mohamad Hayden dan Putera Mohamad Harriez.

Lebih menggembirakan, tidak lama lagi mereka bakal menerima kehadiran cahaya mata ketiga.

IKLAN

“Alhamdulillah, usia kandungan saya sudah masuk 6 bulan dan dijangka bersalin pada bulan Mei. Mengandung kali ini memang alahan berbeza berbanding dengan sebelum ini. Kalau dulu, tiada apa-apa alahan pun tapi kali ini awal mengandung lagi saya rasa mual-mual dan pening sepanjang hari. Syukur, masuk bulan keempat… second trimester keadaan bertambah baik.”

Dek kerana terlalu meminati dunia kecantikan, Raja Petrina memilih khidmat sebagai Perunding Kecantikan Mary Kay sebagai kerjaya. Patutlah mulus gebu je kulit wajah ibu muda ini!

IKLAN

Memandangkan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 waktu ini yang agak mengehadkan kariernya sebagai perunding kecantikan, dia perlu merancang rutin harian sebaik mungkin dengan menetapkan jadual untuk mengurus rumah dan anak-anak selain melakukan kelas kecantikan secara dalam talian.

Sebagai perunding kecantikan, Raja Petrina tidak lokek berkongsi tip mendapatkan wajah cantik berseri dan sihat. “Saya percaya pada daily routine sebab tu saya tak tinggalkan rutin harian. Setiap pagi saya akan cuci muka menggunakan Skinvigorate Sonic Mary Kay dan Timewise 3D Cleanser. Kemudian, sapu softener dan serum sambil urut menggunakan Skinvigorate massager, guna pelembab dan paling penting sunscreen.

Waktu malam pun saya amalkan rutin sama. Cuma sunscreen ditukar kepada sleeping mask iaitu gel mask yang dipakai semasa tidur dan dicuci keesokkan pagi. Saya akan ‘exfoliate’ menggunakan exfoliating powder dua kali seminggu untuk buang sel kulit mati supaya kulit tak kusam dan produk yang kita pakai akan meresap dengan baik.”

Bercerita mengenai diet pemakanan pula, “Saya cuma amalkan pemakanan yang sihat. Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Tambah lagi sedang mengandung, banyakkan makan makanan yang berkhasiat. Ia membantu memberi tenaga untuk kita uruskan pekerjaan sepanjang hari.

Contohnya saya akan makan buah kurma setiap hari pada waktu pagi. Snek pula saya makan buah-buahan dan amalkan nasi sama banyak dengan sayur sebab selain mengurangkan kuantiti nasi, makan sayur pun mengenyangkan juga.”