KAK TON

Tergamam tengok banglo mewah milik usahawan kosmetik terkenal, Dr Zaiton Hassan atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ton. Menerusi perkongsian video house tour bersama anak perempuannya, Nadia Annuar baru-baru ini pengasas White Pearl berkenaan meluahkan hasrat ingin menjual kediaman mewah tersebut.

Ujar Kak Ton, dia mahu berpindah ke rumah yang lebih kecil memandangkan mudah diurus selain kerana kelima-lima anak-anaknya sudah pun memiliki rumah sendiri dan berkeluarga. Difahamkan, sebelum rumah yang diimpikan selama ini siap dibina, Kak Ton sudah membeli rumah untuk setiap seorang anaknya dan berada berdekatan satu masa lain.

IKLAN

Meskipun tidak menyatakan harga jualan sebenar rumah tersebut, namun kediaman elit tiga tingkat yang terletak di Shah Alam, Selangor ini dianggarkan mencecah jutaan ringgit. Lebih menguntungkan, pembelian banglo ini juga fully furnished! Segala perkakasan, perabot dan hiasan yang ada di dalamnya sudah tersedia dan masih berada dalam keadaan baik serta baharu. Memang untung siapa yang beli nanti.

Usahawan berjaya, Dr Zaiton Hassan atau Kak Ton
Di samping anak perempuan, Nadia Annuar
Kak Ton bersama anak-anak, cucu dan pembantu rumah

Menjawab kenyataan peminat yang meluahkan rasa bahagia dapat tinggal di rumah besar seumpama itu, Kak Ton lantas berkata, “Tak ada beza sebenarnya, bahagia bukan bersandarkan betapa besar sesebuah rumah. Jangan jealous dengan orang yang ada rumah besar. Sebab ada rumah kecil lagi senang jumpa anak-anak.

Memang dari dulu saya mahu ada rumah impian seperti ini. Tapi bila dah ada, dah siap… sama saja sebenarnya. Dan saya rasa duduk di rumah kecil (seperti rumah yang pernah didiami di Seksyen 18) lagi bahagia.”

Teringat balik pengakuan Nadia Annuar waktu Nona menemu ramah ibu dan anak ini sekitar dua tahun lalu. Dedah hos TV ini, “Mummy baru dua tahun kebelakangan ini pindah ke rumah besar. Walau dia dah berjaya lama daripada tempoh itu tapi masih memilih untuk tinggal di rumah flat yang kami duduk dari zaman kecil dulu kerana keselesaan yang dia rasa biarpun tinggal di rumah flat.

Mummy kata bila tinggal di rumah besar dia rasa sunyi. Padahal masa saya kecil, saya ingat lagi mummy pasang cita-cita nak beli rumah besar. Biar anak-anak dapat duduk sekali. Alhamdulillah impian mummy tercapai.”

Rumah impian Kak Ton ini bukan calang-calang. Tidak hanya dilengkapi dengan lif, ia juga mempunyai 17 bilik termasuk 10 bilik tidur yang setiap satu mempunyai bilik mandi serta tujuh bilik serbaguna. Tidak cukup itu, terdapat beberapa ruang yang dijadikan bilik surau, gimnasium, kolam renang tertutup, ruang tamu istirahat dan bilik pawagam yang dilengkapi sistem audio canggih seperti di panggung wayang. Kediaman mewah ini juga mempunyai permandangan indah Masjid Shah Alam!

IKLAN

Itu belum lagi termasuk set pinggan mangkuk berjenama mewah Royal Albert, meja makan 14 tempat duduk yang ditempah khas, peralatan seperti peti sejuk yang ditempah dari London dan sebagainya. Kata Kak Ton, dia tidak akan membawa barangan ini untuk pindah ke kediaman baru kelak. Sebaliknya, ia termasuk dalam jualan rumah berkenaan.

Bilik pawagam
Kolam renang tertutup
Antara perabot mewah yang ditempah khas

Mengimbas kembali pembabitan Kak Ton sebagai usahawan kosmetik, dia mengakui antara jenama kosmetik yang berada pada era sepertinya kira-kira 19 tahun lalu termasuklah Sendayu Tinggi yang diasaskan Bonda Rozita dan Nouvelle Visage milik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.

IKLAN

“Tahun 2002 saya buat White Pearl dan tahun 2010 pula saya fokus buat Umar dan Beauty Umaira. Nak berniaga ni bukan tengok orang lain buat 10 jenis, kita nak buat juga. Kualiti kena jaga begitu juga keikhlasan berniaga sebab saya tak nak esok-esok mati benda ni ‘berat’.

Selain itu, kita kena jaga diri dan kesihatan untuk terus beramal ibadah kepada Allah SWT. Memang ujian itu datang dalam macam-macam cara. Saya sendiri pun ada ujian yang tak boleh cerita dengan orang. Cuma apa yang boleh saya cakap, kita terima ujian tersebut dan reda.”

Semoga kecekalan Kak Ton berjaya dalam perniagaan dan kehidupan menjadi sumber kekuatan buat golongan wanita.

 

Kredit foto: Instagram Kak Ton & Nadia Annuar