CHE PUAN SARIMAH IBRAHIM

Alahai, comelnya Tunku Sofia Najihah! Anakanda kepada Che Puan Sarimah Ibrahim dan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar ini baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran
pertama pada tanggal 19 Julai lalu. Genap mencapai usia setahun, Tunku Sofia baru-baru ini diraikan dalam satu majlis adat diraja Negeri Sembilan iaitu Majlis Jejak Tanah.

IKLAN

Menariknya, Che Puan Sarimah sudi berkongsi momen istimewa itu bersama para peminat di Instagram. Difahamkan majlis yang berlangsung pada 8 Ogos lalu merupakan adat diraja Negeri Sembilan yang sudah dijadikan sebagai amalan tradisi. Berkongsi suasana di Istana Nurul Jannah berkenaan, pengacara popular ini meluahkan rasa syukur kerana istiadat berkenaan berjalan dengan lancar dan sempurna.

“Selesai sudah. Alhamdulillah. Adat Diraja Negeri Sembilan. Hari ini merupakan Majlis Jejak Tanah Tunku Sofia Najihah. Thanks to my mother in law for organizing a beautiful majlis.”

Tambahnya, majlis tersebut sepatutnya dilaksanakan lebih awal. Namun ia terpaksa ditangguhkan susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Ujar selebriti berusia
42 tahun ini lagi, ia bukanlah majlis keagamaan tetapi sudah menjadi amalan tradisional keluarga diraja dan menyaksikan Tunku Sofia menjejakkan kakinya ke tanah. Dalam majlis tersebut, kaki anakanda Tunku Sofia diletakkan pada beberapa elemen seperti tanah, logam, emas, perak dan gangsa.

Berdasarkan foto-foto yang dikongsikan, Che Puan Sarimah dan suami kelihatan anggun serta segak dalam persalinan tradisi rona kuning. Begitu juga penampilan puteri kesayangan mereka yang comel menyarung gaun kembang rona sedondon dan tenang berada di atas pelamin sambil ditemani ibunda tersayang. Di hadapan Tunku Sofia, turut diletakkan beberapa buah dulang beralaskan kain berwarna kuning yang diisi dengan pelbagai jenis elemen.

Khabarnya, Tunku Sofia sudah pun memiliki akaun Instagram sendiri. Namun jelas Che Puan Sarimah, akaun tersebut kini dalam mode ‘private’ dan beliau akan membuka kepada umum apabila tiba masanya kelak.

Che Puan Sarimah mendirikan rumah tangga dengan Tunku Nadzimuddin atau lebih dikenali sebagai Tunku Jamie yang merupakan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 pada 2 April 2015. Pasangan ini dikurniakan rezeki menimang cahaya mata sulung mereka, Tunku Sofia Najihah selepas hampir empat tahun menanti.

Semoga Tunku Sofia membesar dengan sihat dan menjadi kebanggaan kedua-dua ibu bapa.

 

Kredit foto: Instagram Sarimah Ibrahim