TAN SRI RAFIDAH AZIZ

Kalau yang pergi menyelam dasar laut berusia sekitar 20an, 30an atau 40an memang tiada apa yang menghairankan pun. Tapi apabila sudah mencecah umur 73 tahun dan aktif
dengan aktiviti menyelam, itu memang luar biasa! Terkedu dibuatnya apabila tokoh pemimpin negara, Tan Sri Rafidah Aziz mendedahkan pencapaian beliau yang berjaya mendapat lesen menyelam pada usia 74 tahun! Apa sebenarnya rahsia Tan Sri Rafidah sampai ada ‘semangat’ luar biasa seperti itu?

IKLAN

Dalam temu ramah The Truth Kiffy Razak bersama Tan Sri Rafidah Aziz pada 16 Mei lalu, Nona cuba mencungkil sisi peribadi wanita hebat ini dengan lebih dekat. Macam-macam
pendedahan eksklusif dikongsikan beliau kepada pengikut setia Nona dan salah satu yang paling mencuri perhatian ialah keupayaannya mendapat lesen menyelam.

Keanggunan Tan Sri Rafidah

Ditanya sejauh mana kedalaman yang pernah dilalui ketika menyelam, ini pengakuan Tan Sri Rafidah. “Saya dapat lesen umur 74 tahun, saya mula menyelam pada usia 73 (tahun).
Kedalaman paling jauh ialah 90 kaki di Thailand. Saya memang suka air, hutan, gunung-ganang dan angkasa lepas. Empat perkara ini memang saya minat dari kecil. Jadi, dengan menyelam inilah yang saya rasa senang sedikit.

Senang maknanya boleh kita buat sebagai aktiviti. Saya akui dulu saya tak ada masa dan sebagainya kerana seperti yang kita tahu kalau hendak pergi menyelam bukan boleh pergi dalam sehari. Setelah sekian lama pendam hasrat, akhirnya dapat juga buat. Alhamdulillah.”

Tambahnya lagi, “Macam masuk hutan seperti trekking, ada jugalah saya pergi. Tapi sekarang ini tak ada. Saya ingat lagi dulu saya dan kawan-kawan pernah pergi Tioman dan naik sebuah gunung di sana. Kami naik sampai ke puncak dan turun ke seberang menghadap laut.”

Minat Tan Sri Rafidah tidak hanya kepada alam sekitar semata-mata, bahkan beliau turut bercita-cita mahu membawa kapal terbang!

“Saya memang lama nak bawa kapal terbang. Saya dah bawa balik borang minta suami untuk sign, jadi guarantor. Tapi arwah suami kata, “No! Tak ada!” Jadi, sebab teringatkan arwah punya tak mahu tu, sampai ke hari ini saya tak buat sebab arwah dah melarang jangan buat,” ujarnya sambil ketawa.

Tan Sri Rafidah sebagai Board of Director Air Asia
Di samping anak perempuan beliau

Sememangnya Tan Sri Rafidah Aziz seorang wanita yang cukup dikagumi dan menjadi kebanggaan ramai. Meniti usia 76 tahun ketika ini, beliau masih gagah menghadiri mesyuarat dan ceramah. Bahkan ketika memenuhi pelawaan Nona dalam temu ramah tersebut, Tan Sri Rafidah dilaporkan baharu keluar dari hospital kerana menjalani pembedahan di bahagian perut. Namun demi memberi inspirasi dan semangat buat kaum wanita, beliau tetap datang!

“Saya selalu jumpa orang-orang di seminar yang menyatakan mereka mengidolakan saya. Saya berterima kasih dengan perhargaan itu tapi jangan idolakan orang. Kita tengok
diri sendiri dulu. Kadang-kadang kita lebih baik dari idola tu. Cumanya kita tak sedar kebolehan kita.”

Mengulas mengenai persiapan raya, Tan Sri Rafidah menjelaskan setiap tahun beliau tidak membuat persiapan baju raya kerana baginya raya adalah lebih kepada mengingati mereka yang sudah tiada dan meneruskan silaturrahim bersama ahli keluarga yang masih ada.