Pasti ramai wanita yang menginginkan rambut lurus menawan dan mudah dirapi. Namun, usah risau jika anda adalah antara wanita yang dikurniakan rambut kerinting kerana setiap jenis rambut memiliki kelebihan tersendiri. Sama ada lurus atau kerinting, anda mampu tampil bergaya dan menawan pada pagi raya!

 

IKLAN

Kunci utama untuk kekal menawan diperoleh melalui keyakinan diri dan penjagaan rambut yang sihat. Dengan perawatan yang tepat, rambut kerinting juga mampu menyerlah dan tampak sihat serta mudah diurus. Patuhi tip berikut dan nikmati hari-hari mendatang dengan penuh keanggunan.

 

POTONGAN RAMBUT
Potongan rambut jenis layer cukup sesuai bagi mereka yang berambut kerinting. Gaya potongan rambut bertingkat ini dipercayai akan membuatkan rambut mudah dirapi dan mengelak daripada menjadi terlalu menggerbang.

 

Selain itu, anda juga perlu rajin memotong atau merapikan rambut setiap 8 hingga 10 minggu sekali. Ini bagi memudahkan rambut cepat panjang secara alami.

 

 

VITAMIN DAN PERAPI
Latih diri agar sentiasa menggunakan perapi rambut selepas mencuci rambut. Pemakaian perapi mampu membuatkan struktur rambut lebih lembut dan mudah dijaga. Apabila rambut telah kering, titiskan beberapa titik serum atau vitamin rambut supaya tidak kering dan kelihatan sihat bersinar. Kesannya, tekstur rambut kerinting tampak eksotik dan bergaya.

 

 

HINDARI PENGERING RAMBUT
Penggunaan pengering rambut bukan sahaja merosakkan rambut, malah ia membuatkan rambut menjadi kering dan bercabang. Penyelesaian terbaik untuk mengeringkan rambut boleh dilakukan secara alami. Misalnya dengan menggunakan tuala untuk mengelap rambut yang basah dan membiarkan ia kering dengan sendiri.

 

 

ALAT PELURUS RAMBUT
Yakin dan berbanggalah dengan rambut anda. Elakkan daripada menggunakan alat pelurus rambut kerana ia bukan sahaja mengubah kecantikan semula jadi rambut kerinting malah menambah kerosakan rambut. Bahkan, penggunaan alat ini hanya berkekalan untuk sementara waktu sahaja.

 

 

SISIR RAMBUT DENGAN BETUL
Rambut kerinting perlu disisir dengan betul agar tidak kusut dan rosak. Penggunaan sikat bergigi jarang juga amat disarankan bagi mengelak kekusutan rambut. Oleh kerana tekstur rambut kerinting padat, ada baiknya anda menyisir rambut menggunakan tangan secara perlahan-lahan. Ia bagi membolehkan tekstur kerinting tersebut kekal semula jadi.

 

 

 

POTONGAN RAMBUT MENGIKUT WAJAH

BENTUK SEGI EMPAT
Bentuk wajah ini dapat dilihat melalui dahi yang lebar, tulang pipi dan rahang yang seimbang. Bagi yang memiliki bentuk wajah segi empat, pilih potongan rambut yang lembut dan bergelombang untuk menutupi bahagian dagu. Elakkan potongan rambut gaya geometri dan belahan rambut tengah dan menyelit rambut ke belakang telinga kerana ia akan menyerlahkan lagi bentuk wajah anda.

 

BENTUK HATI
Ia mempunyai dahi yang lebar, tulang pipi tinggi dan bentuk dagu meruncing. Elakkan panjang rambut paras dagu kerana ia akan membuatkan wajah kelihatan semakin runcing ke bawah. Sebaiknya pilih potongan yang membuat bahagian rahang penuh. Bentuk wajah ini sesuai mengenakan gaya rambut kerinting terutama di hujung rambut.

 

BENTUK BULAT
Pilih potongan rambut yang lembut, berperingkat atau gaya bob bertingkat untuk menyerlahkan kesan panjang dan ramping. Untuk potongan rambut pendek, pastikan ia menutupi bahagian pipi yang bulat dan lebar.

 

BENTUK BUJUR
Bentuk wajah ini paling ideal dan sesuai untuk semua potongan rambut sama ada panjang atau pendek. Untuk menyeimbangkan bentuk wajah, cuba potongan bertingkat yang dimulai daripada tulang pipi.