Tahun 2018 merupakan comeback buat wanita yang memegang watak sebagai Linda Martopo dalam filem KL Menjerit ini. Memilih bernaung di sebuah syarikat pengurusan, Laugh Out Loud (LOL) membuktikan Liza Hanim begitu serius dalam merencana perjalanan seninya.

“Langkah saya tidak akan terhenti selepas berada di pentas GV4 dan saya mahu meneruskan kehangatan dan terus berada dalam industri. Telah banyak yang saya rancang sepanjang tahun ini dan saya akan keluar dengan single terbaharu.

IKLAN

Saya dalam rangka promosi single ini dan saya tidak terhenti pada satu single sahaja dan berharap dapat melahirkan beberapa buah lagu lagi pada tahun ini. Saya juga telah merancang untuk turut serta dengan beberapa program TV,” ungkap wanita tinggi lampai ini.

Melihat keyakinan penyanyi yang berusia 38 tahun ini mengatur langkah terbit rasa ingin tahu tentang pandangan penyanyi lagu Gelisah Mimpi ini tentang persaingan dengan penyanyi baru dan lebih muda.

“Saya tidak rasa penglibatan semula ini memberi saingan kepada penyanyi baru dan lebih muda. Kehadiran saya bersama-sama penyanyi lama yang lain adalah untuk memeriahkan kembali industri seni.

Kami semua sudah mempunyai tapak dan berpeluang untuk memperkenalkan semula diri masing-masing atas platform GV ini. Gabungan penyanyi lama dan baru adalah suatu perkara yang sihat dalam industri dan bukan untuk bersaing di antara satu sama lain,” terangnya dengan jujur.

Peredaran masa membuat segala-galanya berubah termasuk dunia hiburan. Menyingkap perasaan Juara Bintang Penghibur HMI (1999) ini tentang persediaannya untuk mengharungi semula dunia glamor lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan kini, tuturnya sambil tersenyum, “Secara jujurnya saya sudah bersedia untuk kembali. Apabila saya sudah bersedia, hendak atau tak hendak apa juga rintangan memang kena tempuh.

Dalam era keyboard warrior dan pembuli siber ini saya mengambil semuanya secara positif. Bila peminat lebih dekat maka lebih cepat mereka memberi semangat kerana penyanyi dan peminat perlu jalan seiring bersama. Jika saya mengeluarkan album atau single bukan menyanyi untuk diri sendiri tetapi untuk peminat-peminat dan mereka yang menghargai seni suara.

Apa juga kata-kata peminat saya mengambilnya secara positif. Segala komen yang dilemparkan kalau baik saya terima dan kalau sebaliknya saya tidak ambil serius. Sakit sebenarnya kalau membaca satu per satu tetapi saya hanya mengambil inti patinya sahaja. Orang boleh berkata apa sahaja tetapi kita yang menanggung segala-galanya.

IKLAN

Alhamdulillah dalam masa sebulan saya terlibat di GV4, jumlah pengikut di laman Instagram telah meningkat dua kali ganda. Selama ini tak pernah ada haters sekarang saya sudah mempunyai haters. Ini menunjukkan saya sudah berada dalam perhatian. Saya anggap ia suatu perkembangan yang sihat dalam memantapkan lagi perjalanan seni yang telah diaturkan,” terang Liza Hanim yang sudah mempunyai 85 ribu pengikut di laman Instagram (ketika artikel ini ditulis).

“Dahulu sebelum terlibat dengan GV4 masa saya lebih tertumpu kepada anak-anak di rumah. Selepas bekerja saya akan balik rumah dengan segera untuk berjumpa mereka.

Namun sejak akhir-akhir ini tengah malam pun masih belum balik. Ada masa yang terpaksa outstation dan perubahan masa ini turut memberi kesan kepada anak-anak. Anak saya yang tiga orang itu sudah faham dan saya boleh terangkan segala-galanya.

IKLAN

Jika mereka ingin bercakap dengan saya boleh buat Whatsapp Call atau video call. Cuma yang bongsu sahaja yang masih tercari-cari kalau saya tidak ada di rumah. Bila berjumpa dia akan melekat sepanjang masa dan bercerita macam-macam tentang apa sahaja bagai sudah lama tidak berjumpa,” ujar ibu kepada Marsya Qistina, 14 tahun, Marissa Qalreen, 8 tahun, Mohamed Salahuddin, 6, dan Mohamed Ibrahim, 3 tahun ini.

Sebagai seorang ibu pasti mempunyai harapan yang tinggi terhadap anak-anak. Liza Hanim begitu terbuka apabila bercerita tentang keempat-empat orang anak-anaknya. “Apa yang saya doakan hari-hari adalah mereka berjaya dalam apa juga bidang yang dipilih. Itu sahaja harapan saya. Kita bukan jenis ibu bapa yang memaksa anak-anak mengikut telunjuk kita. I hope I am not that kind of mother. Of course education is very important.

Ada sesetengah anak-anak kalau kita push dia boleh cemerlang tapi anak sesetengah anak kalau kita push dia akan jatuh. Kita kena tengok juga kemampuan anak-anak sendiri. As long as kita tahu pencapaian dia sebelum ini. Apa yang saya cakap pada anak-anak you just give me better result. Itu sahaja.

Tetapi saya gembira anak-anak paling rapat dengan saya. Apa-apa pun mereka akan datang beritahu. Saya rasa bahagia apabila anak-anak menganggap kita seperti kawan-kawan mereka. Siapakah yang mengikut jejak langkah boleh menyanyi? Boleh dikatakan keempat-empat anak-anak saya menunjukkan kecenderungan menyanyi.

Marsha sering masuk pertandingan nyanyian di sekolah. Sekolah pun akan menghantar dia jika terdapat sebarang pertandingan nyanyian. Yang nombor dua pula menunjukkan minat menari. Nombor tiga pun boleh nampak kebolehannya menyanyi,” terang isteri kepada anggota kumpulan Indigo, Mohd Shahrin Mohd Samsudin atau Shah ini.