Trend memakai barangan kemas kini tiba-tiba kembali menjadi pilihan wanita Malaysia. Jika dulu emas kuning hanya dipakai wanita berumur, tapi sekarang menjadi sebutan selepas ramai selebriti popular yang mengenakannya.

Tak kira tua ataupun muda, pemakaian emas mula diminati semula. Ada yang membelinya kerana terpikat dengan rekaan emas yang cantik-cantik. Ada pula kerana pelaburan jangka panjang atau hadiah dari orang tersayang.

IKLAN

Nona tertarik dengan nama-nama gelang emas dari Negeri Cik Siti Wan Kembang ni. Antara nama-nama yang diberikan adalah mengikut nama makanan seperti biskut tawar, pulut dakap dan roti bun.

Walaupun lucu tapi bila dua tiga kali tengok rekaannya, berkenan juga. Teringin nak sambar seurat dua, bukan main cantik lagi!

Nama-Nama Emas Kelantan

Mengikut sumber Facebook Kelantanese (klik sini) ini adalah nama-nama rantai tangan emas yang popular di Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Wah! Uniknya nama, gelang boba tu paling cantik.

Walau bagaimanapun, dalam satu hantaran oleh Pegawai Teknologi Makanan di Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Perak iaitu Sazly Azizuddin, beliau berkongsi dua informasi santai tentang emas yang dirasakan berkait antara satu sama lain.

Jom hadam maklumat tentang perbezaan rantai emas ‘hollow’ dan ‘padu’ ini.

(1) Jenis ‘Hollow’

  • Dalam erti kata lain ‘KOSONG’.
  • Barang kemas yang jenis dalamnya kosong.
  • Selalunya jenis yang kosong ni macam jenis rantai tangan gajah, lipan dan seangkatan dengannya.
  • Emas jenis kosong selalunya mudah kemek, putus atau rosak.

Contoh mudah, rantai tangan gajah tu agak besar dan lebar, tapi bila dipegang atau diangkat, tak berapa berat. Ringan je. Itu maksudnya rantai tangan gajah yang kosong.

(2) Jenis ‘Padu’

  • Dalam erti kata lain ‘PADAT’.
  • Barang kemas jenis ni dalamnya memang padat.
  • Jenis padu yang selalu kita jumpa macam jenis dunhill dan seangkatan dengannya.

Contohnya kalau barang kemas tu jenis berat, bermaksud ia padu walaupun rekaan halus. Cuba timbang berat barang kemas tu kat tangan dan tengok pada saiz barang kemas tu. Dari situ kita dah boleh agak sama ada ia ‘padu’ atau ‘hollow’.

Tunggu Dulu! Peminat Emas Jangan Suka Sangat

“Ibu ibu tengah sibuk nak buat kuah kacang ke tu?”

“Suka saya nak ingatkan, ‘padu’ ke ‘hollow’ ke jenis barang kemas yang dibeli, PENGENDALI MAKANAN tetap tak boleh pakai rantai tangan semasa mengendali makanan.

Kebersihan diri pengendali makanan perlu dijaga. Pemakaian seperti perhiasan diri, jam, pin dan eksesori lain adalah tidak dibenarkan semasa mengendalikan makanan.

Sebagai contoh, jika kita ke tandas dengan memakai cincin atau gelang tangan, adakah kita betul-betul yakin bahawa kita juga membersihkan cincin dan gelang tangan tersebut semasa mencuci tangan?

Bakteria dari najis seperti E. coli mungkin masih terlekat pada perhiasan kita dan tanpa disedari, bakteria yang sama akan berpindah kepada makanan melalui cincin dan rantai tangan kita tadi. Pencemaran silang boleh berlaku.

Di dalam Peraturan 33.(1)(f) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, adalah menjadi kesalahan jika pengendali makanan memakai perhiasan diri, jam, pin dan aksesori lain semasa mengendali makanan.

Apabila disabitkan kesalahan, pengendali makanan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun,” terang Sazly panjang lebar.

Nah, kaum wanita yang bersilat memasak tu tak perlulah melaram emas kat dapur ya! Kalau makanan tercemar, naya je… Tunggulah dah bersiap dan berhias cantik, baru pakai emas-emas anda yang mahal tu.

Sumber: Sazly Tulih (klik sini)