Menceburi bidang perniagaan bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi perniagaan yang diusahakan mempunyai banyak persaingan sengit. Namun bagi pemilik nama Azlin Zulkarnain, dia cekal dalam membina perusahaan kafe yang diusahakan dengan hasil titik peluh sendiri. Eatropica yang terletak di Brickfields, KL merupakan kafe yang baharu ditubuhkan April lalu. Sebelum Azlin membuka perniagaan ini, beliau adalah salah seorang rakan kongsi kepada salah seorang pereka fesyen terkenal tempatan. Minatnya yang mendalam dalam bidang perniagaan membuka peluang buat beliau untuk mencuba sesuatu yang baru.

IKLAN

CINTAKAN BISNES

Tidak bersandarkan pada rupa paras yang cantik semata-mata, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Kimia di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam. Selepas tamat pengajian, Azlin bekerja di Saudi Arabia selama 5 tahun dan kemudian pulang ke tanah air untuk membuka perniagaan. Pengalaman beliau di negara asing sedikit sebanyak memberi kekuatan dan pengalaman sebagai seorang wanita yang mampu berdikari.

“Saya seorang yang sukakan perniagaan. Sebelum saya membuka Eatropica, saya ada bisnes dalam industri fesyen. Namun saya tidak lama dalam perniagaan tersebut. Kemudian selepas setahun berehat, rakan saya yang juga merupakan rakan kongsi di Eatropica mengajak saya untuk membuka bisnes ini. Dia yang tunjukkan saya mengenai tempat ini. Pada mulanya tempat ini kosong tanpa sebarang renovation. Saya melihat ia ada potensi untuk dibuat sesuatu. Dari situlah datangnya idea untuk membuka kafe dan event space kerana saya lihat kawasan di KL Sentral ini kurang dari segi itu.

“Tercetusnya nama ‘Eatropica’ itu datang secara tidak langsung. Kebetulan pula ketika saya ingin propose perniagaan ini, mereka inginkan konsep tropika.  Saya rasakan ia konsep cukup bersesuaian di mana warga kota boleh mencuci mata dalam dekorasi yang penuh kehijauan walaupun berada di tengah kota. Buat masa ini, saya banyak menguruskan sendiri urusan dan perihal kafe saya memandangkan kafe ini baharu sahaja dibuka,” ungkap Azlin yang juga mempunyai bisnes tudung secara kecil-kecilan.

CABARAN

Setiap perniagaan yang diusahakan pasti ada fasa turun dan naik. Memandangkan Eatropica merupakan perniagaan yang masih hijau, pasti pelbagai persiapan perlu dilakukan. Menurut Azlin, bisnes yang melibatkan makanan perlu diberi perhatian lebih dan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Ia bukanlah perkara mudah seperti yang disangka.

“Bila bercakap mengenai F&B (food & beverages), banyak hal yang perlu difikirkan. Mungkin ramai beranggapan bila kita buka bisnes seperti kafe atau restoran, ia adalah bisnes yang mudah. Bisnes ini memerlukan khidmat pekerja yang ramai dan seperti yang kita maklum makanan tidak boleh disimpan terlalu lama. Namun saya bersyukur kerana mempunyai chef yang berkualiti dan kakitangan yang memudahkan kerja saya.

IKLAN

Sejujurnya Eatropica adalah bisnes makanan pertama saya dan banyak perkara yang saya tidak tahu mengenai bidang ini. Banyak perkara yang perlu saya belajar. Sebagai contoh bila kita ingin buat menu yang mempunyai masakan jenis grill, sudah pasti kita perlu membeli alat untuk membakar walaupun menu tersebut hanyalah satu sahaja. Manakala harga pembakar pula mencecah ribuan ringgit. Kos-kos tersebut perlu diambil kira supaya tiada pembaziran yang berlaku. Paling penting, kita perlu tahu konsep kesleuruhan perniagaan yang kita jalankan.

RESEPI KEJAYAAN

Usaha berterusan dalam menggapai impian membuahkan hasil yang boleh dibanggakan. Minat yang mendalam dalam bidang perniagaan mencipta transisi kejayaan untuk bergelar usahawan yang cemerlang. Bertanyakan mengenai resipi kejayaan, ini jawapan Azlin!

IKLAN

“Bagi saya, pertama sekali ia memasang niat yang betul. Jika kita melakukan sesuatu perkara dengan niat yang ikhlas, InsyaAllah akan dipermudahkan. Saya juga percaya, kita perlu menjalinkan hubungan dengan orang di sekeliling kita dengan baik kerana mereka ini juga merupakan tulang belakang kejayaan kita. Saya sering bertolak-ansur dengan kakitangan kerana saya percaya tanpa mereka saya tidak akan berada di tahap di mana saya berada sekarang ini.

Selain itu, pengalaman saya ketika berkerja di Saudi sebagai jurutera juga lebih mematangkan saya. Saya terbang ke Saudi sebaik sahaja menamatkan ijazah saya di Universiti Teknologi Malaysia. Ketika itu, saya masih muda dan nekad untuk membina karier di negara Timur Tengah. Seperti kita tahu, zaman dahulu negara Timur Tengah ini negara yang diskriminasi terhadap kaum wanita seperti tidak boleh memandu kereta, tidak boleh keluar rumah tanpa mahram dan sebagainya. Banyak perkara yang saya perlu korbankan ketika bekerja di sana. Namun selepas berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk meninggalkan karier di Saudi,” ungkap Azlin yang berhijrah ke Saudi pada tahun 2009.

Tambah Azlin lagi, keluarganya juga menyumbang kepada kejayaan beliau pada hari ini. Hasratnya untuk menceburi bidang perniagaan dari mula lagi sudah mendapat sokongan padu dari keluarga tercinta. Azlin percaya berkat doa orang tuanya selama ini menjadi paksi untuk berdiri menjadi seorang usahawan wanita yang berjaya.