Untuk menjadi seorang seniman adalah untuk percaya pada kehidupan. Dan tanpa tawakal yang tinggi pada karya yang dihasilkan, orang seni bukan siapa-siapa.

Perkenalan Nona dengan pelukis cat minyak dan digital bernama Amy Hashim ini sesungguhnya begitu indah perjalanannya. Kami teruja berkongsi kejayaan beliau, seorang pelukis wanita Muslimah tempatan, yang dijemput mengadakan pameran lukisannya setiap tahun di bumi Uncle Sam.

IKLAN

Amy Hashim atau pemilik nama penuh Amy Hashmida Hashim ini merupakan anak kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang. Berusia 46 tahun, salah satu lukisan beliau yang bertajuk ‘Paddy Field – After Harvest’ berjaya tersenarai dalam Top 100 sebuah pertandingan lukisan terkemuka di Palo Alto, California.

Paddy Field – After Harvest

Cerita kejayaan wanita tempatan ini bukti minat mendalam mendahului segala-galanya. Meskipun selepas memiliki tiga orang cahaya mata, graduan Business Studies tersebut terus mengorak langkah untuk menakluki dunia seni. Ikuti temu bual kami.

Anda melukis kerana apa?  

Pertamanya, kerana cinta pada lukisan sejak kecil dan kedua, kerana sokongan serta galakan kawan-kawan dari dalam dan luar negara. Sejak kecil lagi saya sudah pandai menyimpan warna-warna dan colour pastel dalam kotak-kotak kasut yang di susun rapi dengan tanda ‘Jangan Sentuh’ (ketawa).

Sepupu saya yang membesar bersama-sama masih ingat pesanan itu. Melukis ni macam sebahagian diri saya, cuma ada masanya fasa hidup kita berbeza-beza maka begitu juga dengan perkembangan seni dalam diri kita.

Hakikatnya, kalau diteliti keadaan sekeliling, kebanyakan kita kehilangan minat dalam seni visual kerana kita tidak mendapat pengukuhan peribadi positif yang diperlukan untuk diteruskan.

Satu kenangan yang anda boleh kongsi tentang keputusan pertama kali ingin menjadi seorang pelukis secara serius?  

Saya diberi kesempatan oleh Allah Taala untuk berhenti kerja dari bidang teknologi dan ICT sewaktu kelahiran puteri kami yang ketiga. Saya terfikir untuk kembali melukis, pada waktu yang sungguh tepat.

Saya ingin menjaga anak perempuan kami sendiri. Maka dengan doa dan tawakal yang amat tinggi, saya kembali melukis dengan dorongan suami. Waktu tahun 90-an itu, saya cuma melukis di atas kertas.

Berbeza sekarang ini, ibarat dua zaman yang berbeza. Sekarang ada banyak kelengkapan digital, maka saya gunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk melukis di atas kedua-dua permukaan kanvas dan skrin digital.

Melukis cat minyak memerlukan tempoh masa yang lama untuk siap iaitu antara seminggu sehingga 2 ke 3 bulan. Maka alternatif terbaik untuk mengisi waktu sementara setiap lapisan cat kering ialah dengan melukis di atas skrin.

Lukisan Amy Hashim di atas kanvas besar berukuran 8 x 6.6 kaki

Kepuasan yang anda dapat apabila berkarya di atas kanvas lukisan?

Sangat puas apabila dapat berkarya di atas kanvas putih dan kemudian perlahan-lahan menzahirkan segala imej yang saya inginkan di kotak fikiran. Seronok bermain-main dengan warna dan tekstur.

Saya menggunakan cat minyak profesional yang diimport dari UK. Olahan saya adalah secara tebal dengan mencampurkan medium impasto bagi memberikan bentuk, yang timbul dan keluar dari permukaan kanvas tersebut. Tebalnya lebih 1 inci.

Berbeza dengan lukisan lain, lukisan sebegini umpama seni arca di atas kanvas dan saya puas dengan ketebalan lukisan tersebut.  Ia juga membezakan lukisan saya dengan lukisan digital yang membanjiri pasaran dunia sekarang.

Lagi satu, saya puas apabila membuat process oil mixing iaitu dengan cara mencampur-campurkan warna-warna primer kepada berpuluh-puluh jenis warna-warna sekunder yang sejuk dan panas, kemudian breaking the tones seolah-olah warna tersebut menari-nari di atas kanvas.

Akhir sekali campuran warna-warna yang hidup yang mengasyikkan dan menceriakan pandangan mata.

Pencapaian yang pernah diraih setakat ini?

Kalau dari segi sijil, saya telah mendapat beberapa anugerah dan sijil seni lukisan dari UK, USA dan Korea. Saya juga pernah dilantik sebagai penasihat seni digital oleh Fakulti Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan.

Namun secara peribadi, pencapaian lebih berbentuk self satisfaction. Pada Ogos tahun 2016, saya membuat pameran solo kedua dan berjaya menjual hampir 19 dari 26 keping dalam masa 2 minggu tempoh solo tersebut.

IKLAN

Satu lagi apabila seorang CEO sebuah organisasi kewangan di Malaysia masuk ke pameran dan tidak teragak-agak untuk membeli 3 buah cat minyak saya. Dan saya juga bersyukur mempunyai seorang pengumpul tegar dari Selatan yang telah mengumpul lebih 10 keping hasil nukilan saya, alhamdulillah.

Apabila orang tidak teragak-agak untuk menyokong saya, saya juga tidak teragak-agak untuk menggerakkan ekonomi seni dengan menggunakan kembali wang untuk membantu pelukis2 dan persatuan pelukis lain yang memerlukan.

Bagaimana terbukanya peluang untuk mengadakan pameran seni di California?  

Saya dihubungi dan dijemput oleh syarikat utama, Autodesk untuk bersama-sama menyertai pameran di The Venetian, Las Vegas sekembalinya saya dari Itali pada tahun 2013.  Selain itu, tiap-tiap tahun saya dihubungi untuk menghantar lukisan di Palo Alto California.

Kalau dulu saya seorang wanita Muslimah yang berkecimpung dalam bidang teknologi di syarikat Intel Corp, sekarang pun takdirnya sama apabila nampaknya saya seorang saja pelukis Muslimah yang terlibat dengan mereka di USA.  Mereka mengenali saya melalui Facebook Page saya iaitu Amy Hashim Arts atau instagram @amyhashimarts.

Melihat kepada peluang seni yang ada sekarang, adakah sukar untuk membina nama di negara sendiri berbanding mengembangkannya di negara luar?
Secara peribadinya saya memulakan karier secara serius di luar negara, kemudian masuk ke Malaysia. Tetapi sekarang di Malaysia ini sudah ramai yang celik dengan seni visual atau lukisan.

Saya lihat ada ramai pengumpul seni dan pelabur yang memberi sokongan terhadap bidang ini.  Mungkin saya mencipta nama dari luar negara, tapi nisbah pembelian lukisan lebih banyak dari pengumpul Malaysia berbanding luar negara. Ini pengalaman peribadi saya dan hal ini mungkin berbeza antara saya dengan pelukis lain.

Pameran Solo Bersama Mantan CEO Bursa Malaysia Bhd Dato’ Yusli Mohamad Yusof

Pada pendapat anda, bagaimana masyarakat menilai sesuatu lukisan… Orang seperti apa yang suka menghayati dan membelinya?

IKLAN

Orang yang suka menghayati lukisan dan membelinya adalah orang yang jiwanya passionate dengan seni dan mencintainya.  Seni pada dasarnya merupakan ungkapan emosi.  Ia mencetuskan emosi tertentu pada orang. Bergantung kepada betapa kuatnya mereka merasakan emosi itu, semakin baiklah peluang orang yang menghargai seni itu.

Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes seseorang mungkin tidak merasakan apa-apa emosi kerana kekurangan pemahaman apa yang dicuba oleh seni.

Dalam kes sedemikian, orang hanya menolaknya mengatakan ia bukan sekeping seni yang baik, mereka mungkin juga mengatakan ini jika emosi yang dicetuskan tidak cukup kuat.

Apabila ini berlaku,  mendapatkan seni menjadi satu kejayaan kepada mereka yang membelinya. Ini tidak boleh dibandingkan dengan wang belanja. Ini adalah acquisition. Pemilikan yang kemudiannya menjadi hak peribadi. Art collector dalam sedar atau tidak, mereka adalah pendorong utama seniman-seniman negara sebenarnya.

Usaha anda agar lukisan yang dihasilkan menembusi pasaran digital?

Kongsikan lukisan anda tanpa segan silu dengan dunia luar menerusi media sosial seperti Flickr, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya.  Anda sudah tentu akan dihargai oleh mereka selayaknya. Dunia ini luas dan rezeki Allah ada di mana-mana.

Harapan anda?

Saya sudah maklum, untuk mengubah sesuatu budaya dan cara-cara hidup tertentu yang bukan dari dalam diri kita sendiri adalah sukar.

Maka harapan saya kepada diri saya sendiri ialah membuka art gallery dan berdikari seperti beberapa pelukis moden di US, UK dan Australia supaya peminat dan pengumpul seni boleh terus menghubungi anda dan berdekatan dan mengenali dengan anda secara peribadi.

Dengan cara ini sahaja mereka boleh mengukur standard kualiti dan latar belakang pelukis tersebut. Selepas projek galeri itu berjaya direalisasikan, kemungkinan saya boleh mengorak langkah seterusnya di luar negara, insya Allah.

Berikan tip penjagaan lukisan agar tetap cantik tergantung?

Cat minyak tahannya berzaman dan menjadi sebahagian aset dan architecture di kediaman anda. Berikut sedikit tip yang praktikal diamalkan:

  1. Gantung ia dengan baik.
  2. Dapatkan pencahayaan yang baik kerana cat minyak anda akan glowing dan mengasyikkan apabila dipandang.
  3. Bersihkan dengan kain lembut atau feather duster (bulu ayam).
  4. Cat minyak juga boleh menjadi pemilikan harta yang dibanggakan (pride possession) maka sesetengahnya sudah boleh di senaraikan dalam insurans bagi mengelakkan sebarang kerugian.
  5. Sekiranya anda mempunyai lukisan oil painting tertentu, sudah tentulah ia menjadi satu topik yang seronok untuk diceritakan kepada tetamu-tetamu anda.