Urinary Tract Infection (UTI) atau kencing kotor adalah jangkitan bakteria yang biasa berlaku terutamanya di kalangan wanita berusia di antara 20 hingga 50 tahun. Lazimnya, bakteria yang menyebabkan penyakit ini berpunca daripada kulit dubur, faraj atau lubang dubur yang bergerak merentasi uretra dan pundi kencing. Apabila berlaku jangkitan, organ pundi kencing akan membengkak dan menimbulkan rasa kurang selesa selain kerap membuang air kecil.

IKLAN

Golongan wanita dipercayai lebih mudah menghidap penyakit kencing kotor berbanding lelaki kerana kedudukan uretra yang pendek dan dekat dengan anus atau dubur. Apabila seseorang wanita itu mengandung, risiko kebarangkalian mereka menghidap kencing kotor adalah lebih tinggi daripada wanita yang tidak hamil. Cystisis merupakan sejenis jangkitan pada saluran kencing yang kerap dihidapi oleh wanita hamil selain perubahan hormon progesteron yang mereka alami.

KESAN

Jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan, jangkitan pada saluran kencing boleh memudaratkan kesihatan kerana ia mampu merebak hingga ke buah pinggang. Kealpaan ibu-ibu hamil terhadap situasi ini bukan hanya menjejaskan tahap kesihatan mereka bahkan bayi yang bakal dilahirkan akan mengalami berat badan yang ringan atau pra matang.

Kehadiran kuman dan bakteria di dalam air kencing boleh diatasi dengan pengambilan antibiotik daripada doktor. Walaupun ketika hamil, ada beberapa jenis antibiotic tertentu yang selamat dimakan dan tidak memberi kesan buruk kepada bayi yang dikandung. Pastikan ubat antibiotik yang diberi habis dimakan untuk tempoh seminggu walaupun demam dan sakit perut sudah berkurangan.

SIMPTOM JANGKITAN KENCING

  • Sakit atau rasa pedih ketika membuang air kecil
  • Sakit di bahagian pelvis, bawah abdomen dan pinggang
  • Kencing tidak lawas
  • Kenaikan suhu badan
  • Loya dan muntah
  • Kerap ke tandas
  • Air kencing berwarna keruh, berdarah atau berbau
  • Menggigil
  • Sakit ketika bersetubuh

SOLUSI KENCING KOTOR

Penyakit kencing kotor nyata boleh dirawat dengan beberapa kaedah berikut. Pun begitu, setiap wanita tidak kira yang sedang hamil atau tidak perlu sentiasa menjaga kebersihan bahagian intim bagi mengurangkan risiko daripada terdedah kepada penyakit ini. Jika anda ke farmasi, dapatkan beberapa bungkusan ural atau effervescent granules yang mudah larut dalam air. Namun, jika ia berlarutan selama 3 hari atau menjadi lebih buruk, pesakit dinasihatkan agar terus berjumpa doktor.

Pencegahan kencing kotor boleh diatasi dengan menitikberatkan langkah-langkah berikut:

  • Minum banyak air kosong sekurang-kurangnya 6 ke 8 gelas sehari sehingga air kencing menjadi jernih.
  • Elakkan tahan kencing kerana ia akan menggalakkan lagi pembiakan bakteria di dalam pundi kencing.
  • Selepas selesai membuang air kecil, biasakn mengelap dari depan ke belakang untuk mengatasi pembiakan bakteria dari kawasan dubur ke uretra.
  • Kurangkan makanan manis atau minuman yang mengandungi kafein.
  • Tukar tuala wanita atau seluar dalam dengan lebih kerap jika kotor.
  • Buang air kecil sebelum dan selepas melakukan hubungan seks.
  • Ambil Vitamin C, Beta-carotene dan Zat Besi setiap hari untuk melawan jangkitan kuman jika daya tahan tubuh lemah.
  • Minum jus kranberi jika kerap menghidap penyakit kencing kotor. Ia mampu menurunkan paras bakteria dalam saluran kencing dan mencegah pembentukan bakteria baru.