IRDIENA HAKIM

Perginya pengasas kosmetik Dnars, arwah Faziani Rohban pada Mei 2019 meninggalkan seribu satu pengajaran. Bukan saja kepada masyarakat tetapi juga lapan cahaya mata arwah. Salah seorang anak yang nekad meneruskan sifat terpuji dan semangat cekal arwah Faziani ialah Irdiena Hakim berusia 18 tahun dan dikatakan antara anak yang memiliki raut wajah paling iras dengan ibunda tersayang.

Aktif menaikkan kembali empayar kosmetik ibu tersayang, Irdiena atau nama panggilannya Gegirl sering mendapat perhatian ramai yang mengganggap dia umpama jelmaan usahawan ternama berkenaan. Dari gaya dan senyuman, memang saling tidak tumpah seperti Allahyarham Faziani. Tambahan pula, Irdiena selesa menggayakan baju, aksesori dan beg tangan milik arwah ibunya.

IKLAN

Mengikuti perkembangan terbaharu Irdiena, dia yang selesai menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu lantas mengambil alih legasi peninggalan arwah ibu. Tidak menjadikan usia mudanya sebagai penghalang, Irdiena yang kini menyandang tugas selaku Pengurus Pemasaran Dnars Skincare optimis mengharungi jatuh bangun dalam dunia perniagaan seperti yang pernah dilalui ratu hatinya suatu ketika dulu.

Kerap ditemani abang tersayang dalam setiap kempen promosi, Irdiena menerusi media sosial miliknya sering meluahkan rasa rindu terhadap arwah ibu tersayang. Jelas tergambar betapa akrabnya hubungan ibu dan anak tersebut. “Tanpa berkat doa mami, kakak takkan mampu untuk hadapi setiap rintangan hidup dan kakak takkan jadi seorang anak perempuan yang kuat pada saat ini.

Impian kakak takkan pernah berubah, ia masih sama dan akan tetap terjadi seperti yang mami harapkan. Semoga mami terus melindungi kakak dan permudahkan setiap urusan hidup kakak. Andai sahaja hari ini mami masih ada kakak yakin mami pasti ibu yang paling bahagia kerana separuh daripada impian dan hajat mami sudah tercapai sekarang.”

Terkenang kembali sisi ceria dan peramah usahawan kosmetik berkenaan sewaktu menjadi penghias kulit Nona pada Mei 2016. Waktu itu anak bongsunya, Qaseh Khadija baru mencecah usia tiga tahun.

Yang pasti, perniagaan Dnars cukup dekat di hati Irdiena kerana arwah Faziani menamakan produk berkenaan daripada singkatan nama Irdiena. Kata-kata arwah yang paling penulis ingat sehingga sekarang ialah sikapnya yang suka mendahulukan orang lain.

IKLAN

Antara bait-bait kata yang disampaikan arwah, “Rezeki untuk dikongsi dan Dnars bukan rezeki saya seorang. Konsep saya, rezeki yang diterima hari ini patut dikongsi bersama orang lain. Rezeki itu datang daripada kita untuk diagihkan kepada semua.

Saya sering tanamkan dalam hati supaya tidak rasa sayang mengeluarkan duit untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Orang paling utama dalam hidup saya adalah ibu bapa, anak-anak, suami dan adik-beradik. Akhir sekali baru saya fikirkan tentang diri sendiri.

Kenangan Irdiena di samping arwah ibu
Kenangan Irdiena di samping arwah ibu
Ketika ulang tahun kelahiran ke-18 pada April lepas

IKLAN

Kalau dia hendak tarik nikmat ini sekejap saja. Memang saya mahu semuanya berpanjangan. Tetapi apa yang akan berlaku kelak saya reda dan tak mahu riak. Bila saya senang, Tuhan hadirkan semua orang susah di sekeliling saya. Saya tahu Dia nak uji sebab itu niat saya waktu pernah susah dulu. Bulatkan hati dan niat kita.

Kalau kita tengah makan dan ada orang datang minta sedekah, beri sumbangan ikut kemampuan kita. Saya percaya ada ketika bukan doa kita saja yang sampai ke Tuhan. Doa orang-orang yang kita bantu inilah yang memurahkan lagi rezeki kita.”

Mulianya hati arwah. Moga Allahyarham Faziani ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh dan usaha murni yang pernah dilakukan menjadi sumber inspirasi kepada semua untuk saling membantu dan mengejar akhirat.

 

 

Kredit: Instagram Irdnar