Beberapa hari kebelakangan ini, keadaan hujan lebat tanpa henti menyaksikan beberapa negeri di Pantai Timur serta negeri lain seperti Johor dan Sabah ditimpa bencana banjir.

Kawasan kampung halaman penyanyi No. 1 negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza di Kuala Lipis, Pahang, tidak terkecuali ditenggelami air ekoran kenaikan paras air Sungai Lipis yang mendadak.

IKLAN

Dalam satu hantaran menerusi pengurus peribadi Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Rozi Abd Razak berbunyi:

“Melihat keadaan SMK Clifford, Lipis, pagi ini membuatkan saya sebak. Sekolah yang sudah berusia lebih 100 tahun, mempunyai khazanah-khazanah tahun bertahun, sejarah yang tak mungkin ada galang ganti, hampir tenggelam sepenuhnya.

Bangunan sekolah, asrama, surau, dewan, pejabat guru, galeri, padang dan kantin, sudah tidak kelihatan kecuali bumbung sahaja.”

Gambar sekolah Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang tenggelam jelas membuatkan sesiapa sahaja sedih memikirkan nasib penduduk yang terlibat.

“Bangunan kelas saya belajar hanya nampak sayup sahaja bumbungnya. Allah! Semoga usaha ini akan diberkati dan saya juga mengajak followers, rakan-rakan, alumni sekolah serta sesiapa saja yang mahu menyumbang bagi membantu meringankan beban sekolah akibat banjir. 

Kala ini, dengan keadaan saya sekarang, mungkin saya tidak dapat turun padang seperti lazimnya untuk melihat sendiri keadaan banjir namun saya titipkan doa dan membantu apa yang termampu kerana memahami keadaan sukar buat semua mangsa banjir.”

IKLAN

Dalam keadaan hamil dan terpaksa menjaga kandungan keduanya sebaik mungkin, Dato’ Sri Siti Nurhaliza tetap prihatin serta gigih menghantar bantuan berupa makanan dan keperluan orang ramai.

Bantuan banjir sumbangan Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Dato’ Sri Khalid Jiwa itu telah dihantar sendiri oleh Rozi Abd Razak untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa di pusat pemindahan sementara.

Antara yang disumbangkan adalah beras, minyak masak, air mineral, roti dan biskut, gula, serbuk teh, sardin serta sebagainya.

“Bekalan barangan keperluan dihantar dari Kuala Lumpur kerana beberapa hari ini sukar mendapatkan bekalan yang cukup dari daerah sekitar di Pahang yang mengalami banjir. Semoga perjalanan team kami ke sana dipermudahkan Allah, fasa pertama dan moga dilapangkan terus rezeki untuk fasa seterusnya.

IKLAN

Saya tidak dapat turun padang dan melihat sendiri kesukaran di Lipis khususnya, bukan tidak mahu tetapi keadaan saya tak mengizinkan. Meskipun ramai yang bertanya, apakah saya tidak berbuat apa-apa? Allah! Tubuh saya mungkin tidak berada di sana tetapi doa dan juga usaha saya, usaha kalian semuanya sampai ke sana.

Moga dipermudahkan buat kita semua,” tulis Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Beberapa jam tadi, Rozi Abd Razak telah memuat naik status terbaru mereka yang telah selamat tiba di destinasi. Amanah yang digalas dilaksanakan sebaik mungkin agar bantuan mampu meringankan kesusahan penduduk terjejas di sana.

Semoga lebih ramai dermawan dan golongan usahawan berjaya seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza turun padang, berlumba-lumba menghulur bantuan serta membantu masyarakat yang memerlukan.

Sumber: Instagram @ctdk @rozisangdewi