Tosai, Capati, Roti Canai dan Vadey. Kalau hendak senaraikan menu popular masyarakat India memang tidak terkira. Selain terkenal dengan ramuan rempah-ratus, juadah India juga terkenal dengan rasa manis. Salah satu jenis manisan yang wajib anda cuba adalah Kesari. Begitu juga sajian puri yang mempunyai rasa lembut dan empuk seperti roti canai.

IKLAN

Sempena Deepavali hari ini, apa kata anda cuba dua resipi berikut.

PURI

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1-2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu kecil susu tepung (untuk dijadikan puri lembut & berlemak)
  • ½ sudu kecil gula
  • ½ sudu kecil garam
  • Air suam secukupnya

Cara membuat:

Masukkan tepung gandum, tepung susu, garam, gula dan minyak masak ke dalam sebuah bekas. Adunkan semua bahan supaya rata. Kemudian, masukkan sedikit demi sedikit air suam dan uli tepung sehingga menjadi doh yang licin dan tidak melekat pada tangan. Rehatkan doh selama 20 minit dan pastikan doh ditutup dengan kain lembap. Bulat-bulatkan doh sebesar bola golf. Titiskan minyak atas papan canai dan leperkan doh puri mengikut ketebalan roti capati. Sesudah itu, panaskan minyak dalam kuali dan goreng puri hingga berwarna keperangan.

KESARI

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung suji
  • 1 cawan gula
  • 3 sudu besar gajus & kismis
  • 3 cawan air
  • 4 sudu besar minyak sapi
  • 5 biji buah pelaga (dihancurkan)
  • Pewarna kuning

Cara membuat:

Panaskan dua sudu minyak sapid an goreng gajus hingga keperangan. Dalam minyak yang sama, masukkan tepung suji dan goreng hingga kuning keemasan. Angkat dan sejukkan. Sesudah itu, panaskan kuali dan masukkan air, gula dan pewarna kuning. Biarkan mendidih dan masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil kacau. Masukkan pula gajus, kismis, serbuk buah pelaga dan dua sudu minyak sapi. Perlahankan api. Kacau hingga kesari tidak melekat pada kuali dan tutupkan api. Akhir sekali, masukkan kesari dalam loyang dan ratakan. Angkat dan sedia untuk dinikmati.

Resipi: TERIMA KASIH PEGAWAI PERHUBUNGAN AWAM GRAND BLUEWAVE HOTEL SHAH ALAM, FAZLIAH NOOR MOHD FOUZI