Hidup berpasangan banyak dugaannya. Ada suami yang rajin mencari rezeki, ada juga yang terlalu pemalas dan bergantung hidup pada isteri.

Tapi ada satu kisah benar yang berlaku pada Ustaz Muhammad Amirul Akmal, seorang pengamal undang-undang syariah ini menarik perhatian Nona.

IKLAN

Seorang mualaf Kristian datang mengadu tidak tahan menanggung hidup suaminya, selalu mengamuk dan menyakiti dirinya. Lebih menyedihkan, dia pernah terfikir untuk kembali ke agama asal.

Maka demi mempertahankan akidah wanita tersebut, solusi yang diberikan ustaz ini cukup membuka mata masyarakat. Ini ceritanya.

Kisah ini berlaku beberapa tahun yang lalu ketika saya masih menjalani latihan industri di Mahkamah Syariah. Suatu hari ketika bertugas di kaunter khidmat pelanggan, datang sepasang suami isteri di hadapan saya.

Isteri tersebut merupakan seorang mualaf (dulu beragama Kristian), mereka duduk di hadapan saya. Si suami pun mula bercerita masalah mereka, katanya dia suruh saya nasihatkan isterinya yang nak bercerai dengan dia. Saya pun mendengar dan cuba untuk menasihati mereka supaya tidak bercerai.

Namun begitu, tak sedap hati ini memandang wajah si isteri tersebut yang berlinangan air mata seolah-olah menangung beban dan emosi terlalu lama dan tiada siapa yang mampu membantu beliau.

Is there anything wrong with her husband, something doesn’t add on in their story? Seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan oleh isteri kerana kehadiran suaminya di situ.

Saya pun menyuruh si suami tersebut keluar dahulu supaya saya boleh menasihati isterinya baik-baik kerana si suami tadi agak menganggu saya dalam proses konsultasi tersebut. Selepas suami keluar, saya pun katakan kepada isteri tadi, “Ada apa yang Puan sembunyikan sebenarnya, yang betul-betul menjadi alasan untuk Puan bercerai?”

PENYESALAN

Dengan air mata berlinangan dan suara sedu-sedan yang tertahan, dia pun mula bercerita.

“Ustaz, saya ni mualaf ustaz, Saya masuk Islam kerana ketenangan dan keindahan agama ini, tapi Ustaz kenapa kehidupan saya lagi merana? Kalau begini lebih baik saya pulang ke agama asal saya sahaja,” ujar beliau kepada saya.

Saya membiarkan beliau menangis air mata bercucuran membasahi pipi beliau agar terubat segala kesedihan di hatinya. Saya pun mengambil tisu dan memberikan sedikit air kepada beliau.

Selepas berfikir secara rasional, saya pun menjawab pertanyaan beliau.

“Puan, Islam itu tidak salah Puan, yang salah itu penganutnya yang jahil dan tidak mengamalkan prinsip Islam yang sewajarnya. Islam tidak pernah menzalimi hambanya akan tetapi hambanya yang saling menzalimi di antara satu sama lain.

Puan perlu tabah dan sabar kerana Allah tidak akan uji kita jika kita tidak mampu menanggungnya. Allah itu Maha Adil. Dia tak akan menguji hamba-Nya berlebihan.”

Puan tadi tekun mendengar seraya membalas. “Ustaz, saya tertekan dengan tanggung jawab nak bayar sewa rumah, bil-bil utiliti, dengan dia mengamuk nak ambil duit saya. Tertekan saya ustaz. Tertekan saya dengan perilaku suami saya tu.

Sebab tu saya tekad ajak beliau datang hari ni ke Mahkamah sebab saya nak bercerai. Saya dah tak tahan. Apa perlu saya buat? Ustaz boleh ke bantu saya?”

TUNTUT FASAKH

Saya pun menyarankan beliau memfailkan tuntutan fasakh dengan bantuan peguam JBG atas alasan di bawah Seksyen 53 (1)(b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor yang menyatakan bahawa;

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

Saya juga menyuruh beliau ke JBG dengan membawa segala bukti yang ada serta bukti pendapatan beliau kerana JBG hanya melihat kes yang ada merit sahaja sebelum menerima sesuatu kes tersebut.

Pada bulan seterusnya saya melihat beliau hadir ke Mahkamah untuk tuntutan fasakh dengan wajah yang sudah tidak lagi sedih malahan kuat dan beliau mampu mengukir senyuman.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada saya. Dan saya pun berlalu pergi kerana selesai tugas saya menyampaikan dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

DHARAR SYARIE

Oleh itu, pesanan saya kepada sang isteri jika suami sudah seperti biawak hidup hingga menyebabkan dharar syarie dan menyebabkan hidup anda menderita akibat lazim menyakiti atau menganiayai anda, mohonlah penceraian secara fasakh kerana anda perlu merasa gembira dan bahagia, bukanlah hidup dalam kesengsaraan mahupun penderitaan yang panjang sehingga terkorban kesihatan diri dan jiwa anda.

Kepada mereka yang belum berkahwin, jangan hanya seronok bercinta sahaja. Sebelum berkahwin banyakkan istikharah, banyakkan menyemak latar belakang bakal pasangan anda. Agar kelak anda tidak terjatuh dalam penderitaan yang berpanjangan.

Sumber: Muhammad Amirul Akmal (klik sini)