Women in Nuclear (WiN Malaysia) sekali lagi menganjurkan 5th Women in Nuclear Conference 2021 yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir. Acara tahunan ini anjuran bersama Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang diadakan pada 23-24 Mac 2021. Ia dijalankan secara maya bagi menyokong langkah kerajaan dalam mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.

IKLAN

Tema penganjuran kali ini ialah “Nuclear Technology: Providing Solutions for Challenges in Future Development” bersesuaian dengan cabaran masa ini terhadap penularan wabak pandemik COVID-19 di seluruh dunia dari segi keselamatan dan kesihatan, ekonomi serta pembangunan masa depan negara.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr Siti A’aisah Hashim.

Penganjuran persidangan ini adalah untuk menyebar maklumat berkaitan perkembangan terkini dalam bidang teknologi nuklear, penemuan penyelidikan, berkongsi idea serta sebagai platform untuk menjalin perhubungan serta interaksi antara penyelidik, ahli akademik, industri, pelajar dan orang ramai di Malaysia.

Persidangan ini melibatkan 23 pembentangan kertas kerja yang merangkumi 2 kertas kerja ucaptama dan 5 kertas kerja jemputan ucaptema dari pakar dan profesional berpengalaman. Selain itu, terdapat 16 pembentangan oral dan 7 kertas kerja berbentuk poster dari para penyelidik dan ahli akademik dalam pelbagai bidang yang meliputi perlindungan sinaran, keselamatan dan sekuriti nuklear, aplikasi Sains Nuklear, peranan wanita dalam mempromosikan teknologi nuklear dan sains, kajian berkaitan COVID-19 dan sinaran tidak mengion.

Merujuk kepada tema dan tajuk kertas kerja yang dibentangkan, ia menunjukkan aplikasi teknologi nuklear amat bermanfaat dan digunakan dalam pelbagai bidang seperti industri, pertanian, perubatan, alam sekitar, pendidikan dan tenaga hijau. WiN Malaysia selaku penganjur utama adalah organisasi Bukan Kerajaan (NGO) dari pertubuhan induk WiN Global yang meliputi 101 cawangan seluruh dunia dianggotai oleh wanita profesional dalam bidang teknologi nuklear.

IKLAN

WiN Malaysia ditubuhkan pada tahun 2014 dengan misi untuk menyokong penglibatan wanita dalam dalam bidang Nuklear dan berperanan untuk berkongsi maklumat dan faedah teknologi nuklear dalam kehidupan seharian. Bersesuaian dengan Malaysia yang sedang bergerak ke arah negara perindustrian, bidang sains dan teknologi adalah sangat penting bagi masa depan ekonomi negara.

Justeru, peranan wanita dalam bidang sains dan teknologi seharusnya diberi pengiktirafan. Secara tidak langsung, penganjuran persidangan WiN Malaysia adalah meraikan sumbangan wanita dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI menerusi ucapannya berkata, Malaysia telah lama mengiktiraf faedah penggunaan teknologi nuklear secara aman.

IKLAN

Melalui keanggotaan dengan International Atomic Energy Agency (IAEA), Malaysia mendapat manfaat dari program latihan dan projek penyelidikan. Malah, kini kursus berkaitan Teknologi Nuklear juga ditawarkan oleh beberapa universiti tempatan. Beliau berbangga dengan penganjuran persidangan WiN Malaysia kali ini kerana berkongsi bulan yang sama dengan Sambutan Hari Wanita Sedunia sekaligus dapat menonjolkan peranan dan kewibawaan wanita dalam STI khususnya di Malaysia.

Sumber: WOMEN IN NUCLEAR (WiN MALAYSIA)