Suara penyanyi kelahiran Indonesia, Yuka Kharisma begitu lantang dan besar. Bila dengar alunan suaranya, membuatkan kita teringat pada penyanyi Anggun, yang juga kelahiran Indonesia. Rupa-rupanya ibu kepada Ahmad Avisenna ini bukan calang-calang orangnya. Kehidupannya yang sering berpindah-randah dek kerana mengikut ayah telah menonjolkan bakat lain Yuka sehingga menjadi johan tilawah al-Quran!

IKLAN

Walaupun sibuk dengan perniagaan, karier nyanyian tetap menjadi keutamaan. Dari kecil lagi bakat nyanyian Yuka sudah dipertontonkan di hadapan orang ramai. Keretakan rumahtangga yang berlaku di antara ibu bapanya membuatkan Yuka terpaksa mengharungi hidup bersendirian.

 

“Di usia remaja lagi saya sudah tinggal sendirian. Saya menetap di sebuah rumah sewa di Jakarta manakala Mama dan Papa juga masing-masing di Bandung. Kami empat beradik tinggal di tempat yang berbeza dan ketika itu apa yang saya harapkan adalah untuk mencari rezeki demi menyekolahkan kedua-dua abang dan adik bongsu.

Ketika apa yang saya tahu hanya menyanyi. Dari jam lapan malam sehingga ke 12 tengah malam pada setiap hari Rabu hingga Ahad sehingga Isnin sudah tidak ada suara. Saya menyanyi di kafe dan hotel. Ada yang dibayar penuh, ada juga dibayar hanya RM70. Tapi saya tetap terima kerana tanggungan saya adalah adik-beradik lain yang ingin menyambung pengajian.

Mungkin Allah tahu saya malas belajar maka Allah beri saya kekuatan dan bakat untuk mencari rezeki demi keluarga. Akhirnya, abang sulung saya bergelar arkitek manakala arwah abang kedua dan adik bongsu saya bergelar jurutera. Kejayaan mereka adalah hasil usaha mereka yang rajin belajar,”ujarnya.

Pada awal pertemuan, Yuka tampak penuh keyakinan. Penulis sangkakan wanita beranak satu ini tegas dan mungkin bersifat garang. Namun, masing-masing tidak kering gusi tatkala Yuka berkongsi kisah zaman persekolahan.

“Saya dulu malas sekolah. Sebaik tamat SPM, saya teruskan kerjaya menyanyi dan lebih menumpukan kepada matlamat utama saya iaitu membantu adik-beradik lain mencapai cita-cita mereka. Menyanyi pun hanyalah hobi, bukan satu impian yang saya idamkan.

 

Sewaktu mengikut Papa pindah atas urusan kerja, kami pernah menetap di Kedah. Bayangkan seorang gadis Indonesia mengambil SPM di sebuah negara asing, ditambah pula dengan loghat yang sukar difahami!

Saya pernah ponteng sekolah selama 30 hari tau kerana stres tak dapat memahami apa yang diajar di sekolah! Mungkin cikgu-cikgu memahami situasi saya dan mereka tidak pernah menghubungi keluarga ketika itu.

 

Paling kelakar, guru kaunseling beritahu cukuplah sekiranya saya lulus setiap subjek dalam SPM kerana saya lebih cenderung menjadi seorang penyanyi. Ya Allah, terkedu juga saya dan nyata kata-katanya jadi kenyataan!”tawa Yuka.

 

Walaupun sibuk dengan nyanyian dan bidang seni, Yuka pernah menjadi kebanggaan sekolah apabila dinobatkan sebagai juara qariah peringkat zon utara. Dia sendiri tidak menyangka mampu membawa nama sekolahnya ke peringkat zon kerana sebelum ini belum ada lagi kejuaraan qariah dari sekolah itu.

 

“Alhamdulilah dari kecil lagi saya sudah dididik mengaji al-Quran. Mama berasal dari Acheh dan sebagaimana kita tahu, Acheh cukup kuat dengan pegangan agamanya. Ketika itu kelas mengaji saya tidak pernah ponteng. Mungkin kerana didikan itu, salah seorang guru di sekolah pernah terdengar bacaan saya lantas dicadangkan agar saya menyertai pertandingan tersebut. Saya sendiri tidak sangka akan menang.

 

Walaupun dulu di sekolah saya sering ‘ghaib’, tetapi tiap kali ada acara seni, saya pasti menonjolkan diri. Bila ada lawatan dari Menteri atau sesiapa sahaja, pasti saya juga akan menjadi salah seorang pelajar yang akan membuat persembahan,” ujarnya lagi.